Kereta dinaiki dua lelaki yang menggunakan cukai jalan palsu. FOTO ihsan polis
Muhaamad Hafis Nawawi


DUA lelaki berusia 41 tahun dan 50 tahun ditahan selepas menaiki kereta menggunakan cukai jalan palsu dalam Operasi Mabuk di Jalan Putra, Alor Setar, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, operasi bermula 12 tengah malam hingga 4 pagi tadi itu dijalankan anggota Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Kota Setar.

Menurutnya, dalam operasi itu, pihaknya kemudian menahan sebuah kereta dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Semakan menggunakan alat peranti peralatan sistem pembayaran kompaun dalam talian mudah alih (MCOPS) mendapati nombor pendaftaran kenderaan sama namun nombor cukai jalan dan casis berbeza.

“Malah kenderaan terbabit tiada pendaftaran dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selain menggunakan cukai jalan palsu,” katanya hari ini.

Mohd Rozi berkata, mereka yang bekerja sendiri itu kemudian ditahan dan dibawa ke Balai Polis Trafik Kota Setar untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 108 3(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pihak polis menyarankan kepada orang ramai serta pengguna jalan raya supaya mematuhi undang-undang ditetapkan dan tidak mengambil jalan pintas dalam melakukan sebarang perkara.

“BSPTD Kota Setar akan mempergiatkan operasi serta mengambil tindakan yang serius bagi membanteras gejala itu dan membendung aktiviti yang bertentangan dan menyalahi undang-undang supaya tidak terus berleluasa di samping memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, tindakan dua lelaki menghabiskan malam minggu melakukan aksi wheelie dan zig zag mengundang padah apabila mereka ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan di Jalan Padang Garam, Kuala Kedah, semalam.

Mohd Rozi Jidin berkata, operasi bermula 4 petang hingga 8 malam itu menahan dua lelaki berusia 18 dan 21 tahun kerana berlumba sesama sendiri dan melakukan aksi berbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya lain.

"Mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Trafik Kota Setar untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2019 @ 10:25 AM