KEDUDUKAN strategik Masjid Aman yang terletak di kawasan persimpangan Lebuhraya Sultanah Bahiyah- Jalan Kuala Kedah. FOTO Sharul Hafiz ZAM
KEDUDUKAN strategik Masjid Aman yang terletak di kawasan persimpangan Lebuhraya Sultanah Bahiyah- Jalan Kuala Kedah. FOTO Sharul Hafiz ZAM
Aizat Sharif


PELBAGAI persiapan dilakukan bagi menyambut Ramadan yang dijangka bermula Isnin ini.

Terutamanya pengurusan masjid di seluruh negara yang sudah menyiapkan kemudahan dan kelengkapan Tarawih dan ibadat lain.

Tidak ketinggalan, Masjid Aman, Jalan Kuala Kedah, Simpang Kuala, di Alor Setar turut mempersiapkan Dewan Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) di masjid itu sebagai dewan berbuka puasa.

Menurut Setiausaha Jawatankuasa Kariah Masjid Aman, Sulaiman Md Zain, pembersihan dewan berkenaan yang mampu memuatkan 100 hingga 120 jemaah untuk berbuka puasa perlu dilakukan kerana ia akan menjadi tempat jemaah yang terdiri daripada kariah berhampiran serta musafir untuk berbuka puasa sebelum menunaikan solat fardu Maghrib dan Isyak serta Tarawih .

“Pembersihan ini dilakukan pentadbiran masjid termasuk jemaah yang tinggal di kariah berhampiran apabila menjelang Ramadan kerana kita mahu memastikan segala kelengkapan serta kemudahan yang berada di masjid ini dapat dimanfaatkan dengan baik terutama dalam Ramadan ini.

“Tambahan pula di masjid ini banyak kemudahan yang sudah pun dinaik taraf untuk memberi keselesaan jemaah yang mana ruang masjid dua tingkat ini mampu memuatkan 2,000 hingga 3,000 jemaah pada satu masa,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di perkarangan masjid berkenaan, hari ini.

Sulaiman berkata, pihak masjid turut menyediakan penginapan kepada musafir yang ingin beribadat di masjid itu.

“Penginapan ini sebenarnya lebih kepada penginapan ‘homestay’ yang hampir sebulan sudah dinaiktaraf kemudahannya.

“Terdapat empat bilik di penginapan berkenaan dan setiap bilik dikenakan RM100 untuk satu malam.

“Jadi tidak ada masalah bagi musafir yang ingin melakukan ibadat di masjid ini sambil menginap di ‘homestay’ yang disediakan,” katanya.

Masjid Aman siap dibina pada awal tahun 1982 dan dirasmikan enam tahun kemudian oleh Sultan Kedah ketika itu, Almarhum Sultan Halim Mu’adzam Shah.

Masjid berkenaan dibina atas sebidang tanah seluas lebih dari satu hektar dan terletak di persimpangan Jalan Kuala Kedah dan Lebuh Raya Sultanah Bahiyah.

Masjid ini dinaik taraf pada 3 Disember 2016 sebelum pembinaan siap sepenuhnya pada 15 Mei 2017.

Bangunan dalam kompleks masjid berkenaan turut merangkumi masjid/dewan solat, bangunan KAFA Integrasi, bangunan kedai koperasi, tandas, gerai makan dan kedai serbaneka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2019 @ 11:59 AM