Dziyaul Afnan Abdul Rahman


POLIS menahan seorang lelaki semalam selepas membuat ugutan pukul dan menyebarkan nombor telefon bimbit anak murid Dr Zakir Naik yang juga pendakwah bebas, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu di Facebook (FB) kelmarin.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd berkata, suspek berusia 39 tahun itu ditahan di Brickfields, Kuala Lumpur selepas menerima laporan daripada Muhammad Zamri di Balai Polis Kangar, kelmarin.

“Suspek yang bekerja dengan sebuah syarikat pengurusan majlis ditahan pada jam 2.50 petang selepas menyebarkan satu rakaman perbualan telefon antaranya dengan mangsa yang mengandungi ugutan atas Muhammad Zamri di FB, Khamis lalu.

“Malah suspek turut menyebarkan nombor telefon pengadu di FB yang bertujuan menghasut orang lain supaya mengancam mangsa.

“Hasil siasatan awal, dia mengaku terbabit dalam membuat ugutan berkenaan malah suspek turut mempunyai rekod lampau membabitkan rusuhan bersenjata,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Noor Mushar berkata, dalam tangkapan itu polis turut merampas seunit telefon bimbit bersama dua kad sim dipercayai digunakan suspek bagi membuat ugutan berkenaan.

“Suspek direman dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 504/506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Ini adalah tangkapan kedua yang membabitkan ugutan pukul ke atas agamawan di Perlis selepas tangkapan pertama dibuat pada awal pagi semalam.

Kelmarin, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin membuat laporan polis pada jam 6.30 petang selepas menerima ugutan pukul di FB pada jam 6 petang hari sama.

Susulan itu, pihak polis menahan seorang kerani berusia 36 tahun di rumahnya di Gelugor, Pulau Pinang pada awal pagi semalam dan suspek direman sehingga 6 Mei ini bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2019 @ 5:29 PM