Laporan portal berita Harian Metro sebelum ini.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


PENYANYI dikir barat, Azwa Kota Jembal atau nama sebenarnya Che Awadi Che Soh, 38, yang menghidap kanser hidung meninggal dunia hari ini.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir 2.40 petang di sisi isteri, Nor Asyikin Abd Rahman, 27, tiga anak dan bapanya, Che Soh Che Ahmad, 72, di rumah mereka di Kampung Senang, Kedai Lalat, Kota Bharu.

Nor Asyikin berkata, suaminya kelihatan lemah sejak tiga hari lalu dan sukar tidur serta tidak selesa.

Katanya, suaminya tenat 1 tengah hari tadi sebelum doktor datang ke rumah untuk memberi rawatan lanjut.

“Doktor masukkan air namun keadaan suami tidak bermaya dan nadinya juga lemah.

“Dia tidak mampu bercakap sebelum menghembuskan nafas terakhir di sisi kami,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, dia tidak sangka suaminya pergi secepat ini memandangkan dia sudah berhenti kerja di sebuah pasar raya semalam untuk menjaga suaminya.

Katanya, dia reda dengan pemergian arwah dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Atas Beris petang ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Azwa Kota Jembal terlantar dan tidak mampu menguruskan diri selepas menderita kanser hidung Februari lalu.

Penyakit itu turut merebak ke bahagian otak dan mata menyebabkan penglihatannya terjejas sejak Mac lalu.

Nor Asyikin berkata, suaminya menghidap kanser hidung selepas mengalami pendarahan hidung berpanjangan selama sebulan dan pada masa sama pening kepala November lalu.

Berita berkaitan

Azwa Kota Jembal derita kanser hidung

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2019 @ 7:09 PM