Rizanizam Abdul Hamid


PENIAGA bazar Ramadan di seluruh negara diingatkan mematuhi arahan meletakkan tanda harga pada barangan jualan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peniaga yang berdegil berbuat demikian akan berdepan tindakan undang-undang.

“Kita sudah kenal pasti beberapa lokasi bazar Ramadan yang biasanya dibanjiri orang ramai dan bahagian penguatkuasaan sudah susun jadual tinjauan di bazar Ramadan untuk pastikan hak pengguna terjaga.

“Peniaga diingatkan mematuhi peraturan walaupun saya lebih cenderung menasihati mereka dan hukuman adalah pilihan terakhir jika masih berdegil,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Harta Intelek Negara 2019 di Bangi hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Datuk Mohd Roslan Mahayudin.

Peniaga yang gagal mempamerkan tanda harga boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5,000 bagi perseorangan dan maksimum RM100,000 kepada syarikat.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, peniaga juga diingatkan mengambil keuntungan yang munasabah sepanjang Ramadan.

“Mengambil keuntungan tidak salah tetapi keuntungan yang keterlaluan itu akan menimbulkan masalah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, KPDNHEP turut mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk memastikan bekalan keperluan asas mencukupi sepanjang Ramadan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2019 @ 7:16 PM