BERNAMA

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa hari ini menegaskan kuota jemaah haji Malaysia kekal 30,200 orang dan permohonan kuota tambahan sedang diusahakan kerajaan serta Lembaga Tabung Haji (TH).

Beliau berkata, bagi kuota tambahan itu, ia tertakluk kepada budi bicara kerajaan Arab Saudi untuk meluluskan.

“Pihak Arab Saudi tidak mempunyai tarikh spesifik untuk memberikan jawapan berhubung permohonan kuota tambahan itu.

“Menurut rekod TH, mereka pernah menerima jawapan berhubung kuota tambahan daripada Arab Saudi ketika Ramadan, Syawal, Zulkaedah malah adakala jawapan diterima ketika Zulhijjah,” katanya.

Mujahid berkata demikian dalam laman Facebook beliau bagi membidas kenyataan Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berhubung laporan sebuah akhbar bahawa umat Islam kehilangan kuota tambahan 10,000 bagi menunaikan haji setiap tahun berikutan hubungan dingin antara kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan Arab Saudi.

“Kenyataan yang dibuat itu adalah satu fitnah berniat jahat untuk menakutkan umat Islam dan ia tidak benar sama sekali, ini kerana kuota haji yang diberi adalah kekal seperti biasa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan akhbar itu merujuk kepada fakta terlebih dulu dan dakwaan tidak tepat yang dilemparkan kepada pihak berkuasa terutama TH yang diberi kuasa menguruskan jemaah haji akan memberi kesan kepada rakyat khususnya umat Islam.

Sementara itu, TH turut menyangkal dakwaan Asyraf Wajdi dalam satu kenyataan dan meminta individu berkaitan berhenti daripada melakukan komen sensasi dan analisis tidak tepat berbaur politik yang boleh mengelirukan rakyat.

“Untuk pengetahuan umum, kuota rasmi yang diberikan Arab Saudi tahun ini ialah 30,200 orang.

“Bagi memendekkan waktu menunggu bakal haji, TH sudah membuat permohonan kuota tambahan 10,000 jemaah bagi musim haji tahun ini.

“Sehingga kini, TH masih menunggu keputusan rasmi mengenai permohonan yang dibuat,” kata kenyataan itu.

Berdasarkan rekod 10 tahun lalu, ada empat tahun iaitu 2013, 2014, 2015 dan 2016, yang mana permohonan kuota tambahan yang dibuat TH tidak diluluskan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2019 @ 10:53 PM