ANGGOTA TLDM menahan dua bot bersama 20 awak-awak serta tekong nelayan asing di Laut China Selatan. FOTO ihsan TLDM
Shahrinnahar Latib


TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) menahan dua bot nelayan asing di sekitar Laut China Selatan, semalam.

Kedua-dua bot bersama 20 awak-awak serta tekong itu ditahan oleh Kapal Diraja (KD) Laksamana Muhamad Amin dan KD Laksamana Tan Pusmah pada awal pagi dan lewat petang.

Jurucakap Bahagian Komunikasi Strategik Markas Wilayah Laut 1, Tanjung Gelang berkata, kedua-dua bot dikesan menceroboh perairan negara dipercayai untuk melaksanakan aktiviti menangkap ikan secara haram dan tidak terkawal.

“Ianya berdasarkan kepada lokasi serta hasil tangkapan yang diperolehi serta peralatan menangkap ikan di atas kedua-dua buah bot.

“Siasatan awal turut mendapati semua awak-awak dipercayai tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, pada masa sama, dua bot itu dilihat cuba mengaburi pihak berkuasa negara dengan menyamar sebagai bot nelayan tempatan.

“Antaranya dengan mengibarkan bendera Malaysia, mempamerkan nombor pendaftaran bot nelayan tempatan dan menunjukkan lesen bot yang disyaki palsu kepada anggota penguatkuasa.

“Kedua-dua bot berkenaan diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, operasi itu adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan TLDM dalam melindungi dan menjaga kedaulatan perairan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 10:23 AM