PELURUS dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan pembaca.


PEMERIKSAAN terhadap seorang lelaki disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah gempar apabila pasukan penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Hulu Langat, mendapati suspek lelaki itu tidur bersama kelongsong dan peluru hidup.

Operasi bermula 11 pagi, Khamis lalu itu turut disertai Special Tactical Response & Investigation Key Enforcers (STRIKE) Ibu Pejabat AADK, dijalankan di Semenyih, Beranang, Cheras, Kajang dan Hulu Langat.

Ketua Pegawai AADK Daerah Hulu Langat Muhamad Ramlan Syed Ahamed berkata, dalam Op Cegah dijalankan, pihaknya digemparkan dengan penemuan 12 kelongsong peluru dan 10 peluru hidup ketika menahan seorang suspek di sebuah rumah di Hulu Langat, Kajang pada 12 tengah malam.

“Bertindak daripada aduan diterima, pasukan operasi ke rumah suspek berusia 47 tahun dan mendapati dia sedang tidur berbantalkan sebuah beg mengandungi pelbagai peralatan.

“Anggota operasi mengejutkan suspek dan pemeriksaan dilakukan menemui 12 kelongsong peluru dalam beg berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut dilakukan menemukan 10 peluru hidup bersaiz sama seperti kelongsong dalam poket seluar dipakai suspek.

Menurutnya, peluru hidup berkenaan disimpan dalam bungkusan plastik, namun pihaknya tidak menemui senjata api daripada suspek.

“Berdasarkan maklumat diterima suspek kerap bertindak agresif terhadap keluarganya dengan mengunci mereka dalam rumah.

“Suspek juga didakwa membakar pakaian dan mercun dalam rumah serta selalu mengugut untuk memukul mereka.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah, dia diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Muhamad Ramlan berkata, seramai tujuh individu ditahan di bawah Akta Penagih Dadah 1983 manakala seorang lagi diserahkan kepada pihak polis kerana berikutan dikesan terbabit dalam aktiviti jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 11:56 AM