Nurezzatul menerima hadiah wang tunai Kecemerlangan SPM yang disampaikan Aminuddin di majlis anjuran Penyelaras DUN Sungai Lui di Kem De Bana, FELDA Lui Barat di Jempol. Foto Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


“MAJLIS ini sepatutnya untuk membanggakan ayah, namun apakan daya kerana Allah lebih menyayanginya,” kata Nurezzatul Husnie Razali, 18, yang menerima hadiah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) anjuran Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lui di Kem De Bana, FELDA Lui Barat di Jempol, semalam.

Nurezzatul berkata, arwah ayahnya, Razali Mohd Nawi, 55, meninggal dunia pada 7 Mac lalu kerana mengalami serangan jantung ketika berada di rumahnya di Taman Seri Air Hitam.

Menurutnya, ayahnya meninggal dunia seminggu sebelum keputusan SPM 2018 diumumkan yang menyaksikannya meraih 11A.

“Saya begitu sedih kerana sepatutnya ayah mengiringi saya ke majlis ini. Apakan daya ayah tidak sempat melihat kejayaan ini,” kata bekas pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Jempol berkenaan.

Nurezzatul menerima hadiah wang tunai RM500 di majlis itu yang disampaikan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Menurutnya, ayahnya yang juga seorang peniaga kantin pernah berpesan kepadanya bahawa pendidikan dapat mengubah nasib keluarga mereka.

“Sewaktu mengambil keputusan SPM yang lalu, saya hanya mampu menangis memikirkan orang tersayang tiada di sisi.

“Saya reda dengan takdir ini dan akan meneruskan hasrat arwah,” katanya yang bercita-cita untuk menjadi ahli farmasi.

Menurutnya, dia berharap dapat mengikuti pengajian Asasi Sains di Universiti Malaya (UM).

Sementara itu, Penyelaras DUN Sungai Lui, Zainal Fikri Abd Kadir berkata, tujuh pelajar yang meraih keputusan cemerlang SPM di kawasan itu menerima anugerah di majlis itu.

Katanya, ia diharapkan dapat menjadi motivasi kepada pelajar terbabit untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 3:50 PM