Antara kenderaan yang disaman kerana mengganggu lalu lintas dalam Ops Halangan di Kulai. Foto Ihsan PDRM
Nurul Amanina Suhaini


PADAH parkir kenderaan di bahu jalan hingga mengganggu lalu lintas, polis mengeluarkan 45 saman trafik menerusi Ops Halangan yang dijalankan di Pekan Bukit Batu dan Jalan Kenanga Indahpura di Kulai, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Tok Beng Yeow berkata, operasi selama enam jam bermula 8 pagi itu dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.

Menurutnya, sebanyak lapan saman Pol 170A dikeluarkan terhadap lori di Pekan Bukit Batu kerana parkir kenderaan di luar petak parkir dengan alasan berhenti rehat.

“Di Jalan Kenanga Indahpura pula, sebanyak 37 saman Pol 170A dikeluarkan terhadap pelbagai kenderaan termasuk 29 kereta, lima kenderaan pelbagai guna (MPV) dan tiga pacuan empat roda.

“Kami mengeluarkan sebanyak 45 saman di dua lokasi itu walaupun pemandunya memberikan alasan gagal mencari parkir.

“Tindakan mereka parkir kenderaan di bahu jalan atau kawasan tidak diwartakan sebenarnya menyebabkan kesesakan lalu lintas,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Beng Yeow berkata, orang ramai dinasihatkan sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan jangan parkir kenderaan pada tempat yang tidak sepatutnya hingga menghalang lalu lintas.

Katanya, pihaknya akan menjalankan operasi atau pemantauan secara berterusan supaya pemilik kenderaan patuh kepada undang-undang sekali gus tidak menghalang lalu lintas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 5:03 PM