Bot Al Nilam daripada Jabatan Laut berjaya mengesan tompokan minyak pada jarak 4.5 batu nautika dari Tanjung Punggai di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi. Foto Ihsan Jabatan Laut
Mohd Sabran Md Sani


SATU lagi tompokan minyak sepanjang 1.9 kilometer ditemui pada jarak 4.5 batu nautika dari Tanjung Punggai dalam Operasi Tindak Balas Tumpahan Minyak Balau 2 (OSR Balau 2) di perairan Tanjung Balau, tengah hari ini.

Penemuan itu menjadikan dua kesan tompokan ditemui dalam tempoh 24 jam di perairan Tanjung Balau sejak petang semalam.

Pengarah Jabatan Laut Wilayah Selatan (Johor) Dickson Dollah berkata, tompokan selebar 60 meter itu ditemui pasukan pemantauan bot Al Nilam dan bot Al Tair pada 12.25 tengah hari.

“Susulan penemuan tompokan baru minyak itu, operasi pembersihan dimulakan dengan semburan dispersant (semburan kimia).

“Pada jam 3.20 petang, operasi disambung semula dengan kaedah sama,” katanya ketika memperincikan hari ketiga OSR Balau 2, hari ini.

Mengulas mengenai operasi itu, katanya, kedua-dua bot bersiap sedia untuk melaksanakan pemantauan dan pembersihan perairan pada 7 pagi tadi.

“Kami turut menerima peralatan melawan tumpahan minyak (OSRE) tambahan dari Jabatan Laut membabitkan tujuh tong semburan kimia mengandungi 175 liter.

“Taklimat kepada anak kapal mengenai perancangan operasi hari ketiga dilakukan dan perancangan membabitkan pemantauan kedua-dua bot,” katanya.

Menurut Dickson, bot Al Nilam melakukan pemantauan dari jarak 1.5 hingga tiga batu nautika dari pantai Tanjung Balau hingga Tanjung Penyusop.

“Bot Al Tair pula ditugaskan melakukan pemantauan dari jarak tiga hingga lima batu nautika dari pantai Tanjung Balau hingga Pulau Mungging.

“Jarak pemantauan yang dirancang adalah sama seperti hari kedua membabitkan jarak 67.50 batu nautika,” katanya.

Menurutnya, operasi hari ketiga diteruskan dalam cuaca mendung, manakala angin 20 hingga 25 knot dan ombak beralun antara dua hingga tiga meter.

Katanya, bot Al Nilam diarahkan bertolak pulang ke Pengkalan Sungai Pulai untuk proses ‘bunkering’ dan dikehendaki kembali ke lokasi operasi, esok.

“Dua orang kru tambahan turut dimohon untuk menyertai bot Al Tair, esok,” katanya.

Katanya, operasi terpaksa dihentikan pada 5.15 petang tadi atas faktor cuaca.

Semalam, dilaporkan satu tompokan minyak sepanjang 200 hingg 300 meter ditemui berselerakan di permukaan laut pada kedudukan tiga batu nautika dari Tanjung Penawar.

Tompokan itu ditemui pada 1.20 petang, hari kedua operasi membabitkan bot Al Nilam dan Al-Tair selepas kedua-duanya melaksanakan operasi pemantaun di kawasan berkenaan.

Berita berkaitan:

  • Dua aset pantau tompokan minyak
  • Lagi tumpahan minyak dikesan
  • Dah kenal pasti kapal tumpah minyak
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 10:02 PM