CHARIN (kanan) dan Ahmad Fauzi (kiri) melihat hasil kraftangan banduan di Galeri Kraftangan Penjara Taiping. FOTO Abdullah Yusof
Mohd Hafizee Mohd Arop


HASIL kraftangan banduan Penjara Taiping dipamerkan di Galeri Kraftangan Penjara Taiping yang dibuka secara rasmi di Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) di Bukit Merah, semalam, untuk dijual kepada orang ramai.

Pelbagai barangan kraftangan dipamerkan untuk jualan di galeri itu yang kesemuanya dihasilkan banduan adalah hasil tunjuk ajar tenaga pengajar penjara berkenaan.

Pengarah Penjara Taiping, Penolong Kanan Komisioner Charin Promwichit berkata, pihaknya akan menambah jumlah barangan kraftangan di galeri itu dari semasa ke semasa bagi memberikan pilihan kepada pengunjung yang hadir.

Katanya, banduan di penjara berkenaan menghasilkan pelbagai barangan kraftangan yang menarik hasil daripada tunjuk ajar menerusi bengkel perusahaan dan bengkel akaun amanah.

“Di Penjara Taiping, kita ada beberapa bengkel seperti bengkel kayu, kimpalan, jahitan, kasut, tilam, cetak dan plastik.

“Barangan seperti cawan, mangkuk, pinggan dan sudu plastik juga adalah menggunakan sumber dihasilkan oleh banduan sendiri,” katanya dalam sidang media selepas majlis perasmian galeri itu, semalam.

Hadir sama Pengurus BMLR, Ahmad Fauzi Zainal Abidin.

Charin berkata, bengkel perusahaan di penjara itu adalah untuk banduan yang masih belum mempunyai kemahiran manakala bengkel akaun amanah pula bagi banduan berkemahiran.

Menurutnya, galeri itu akan dibuka jam 10 pagi hingga 8 malam di BMLR setiap hari kecuali Selasa dan orang ramai boleh mengunjungi bengkel berkenaan bagi mendapatkan barangan kraftangan dihasilkan banduan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 1:20 AM