Pelajar UMP, Isma Aida Akma Ismail (dua dari kiri) bersama rakanya menghasilkan Express Pump yang memenangi anugerah terbaik kualiti pada TRIZ Innovation Exposition 4.0 di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP) Gambang. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


PRODUK Express Pump dihasilkan pelajar Kejuruteraan Awam Universiti Malaysia Pahang (UMP) dipilih sebagai penerima anugerah terbaik kualiti TRIZ Innovation Exposition 4.0 di Kompleks Sukan UMP Kampus Gambang, Kuantan, semalam.

Mengambil masa sebulan untuk dihasilkan, produk itu berfungsi mengepam tayar motosikal menggunakan saluran atau tiup disambung pada ekzos kenderaan dua roda itu.

Menurut salah seorang daripada ahli kumpulan yang menghasilkan peralatan itu, Isma Aida Akma Ismail, 23, ia boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah tayar motosikal pancit di lokasi yang jauh dari bengkel.

Katanya, alat itu menggunakan saluran khas atau tiub yang mempunyai penapis bagi memastikan asap tidak memasuki tiub.

“Express Pump sejenis alat ringkas, mudah digunakan dan tidak memerlukan perbelanjaan besar untuk dihasilkan, serta mudah dibawa.

“Bagi pemilik motosikal yang gemar berkonvoi, alat ini menjadi penyelamat jika tayar motosikal pancit kerana proses menukar tiub boleh dilakukan segera tanpa perlu ke bengkel,” katanya.

Katanya, dia bersama tiga rakan iatu Hannani Hasni, 22; Muhammad Faiz Rosli, 23 dan Sultan Omar Babalghaith, 23, melakukan beberapa kali percubaan bagi memastikan Express Pump memenuhi keperluan penunggang motosikal.

Pertandingan memasuki musim keempat dan dibahagikan kepada empat kategori itu bermula Jumaat lalu itu dirasmikan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMP, Profesor Dr Wan Azhar Wan Yusoff.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 11:00 AM