Antara kabel curi yang dirampas dalam serbuan polis di Kampung Sungai Buntu, Sungai Rengit, Kota Tinggi, pagi semalam. FOTO ihsan polis
Nurul Amanina Suhaini


POLIS menumpaskan kumpulan penjenayah curi kabel dikenali Geng Tony Kabel selepas menahan tiga warga Indonesia termasuk seorang wanita dalam serbuan di Kampung Sungai Buntu, Sungai Rengit, Kota Tinggi, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, dalam serbuan kira-kira 11 pagi itu, pihaknya menahan anggota kumpulan itu yang berusia 24 hingga 42 tahun.

Katanya, kumpulan yang aktif sejak tahun lalu itu dipercayai mencuri kabel di kawasan Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID), Pengerang.

“Bertindak atas risikan yang dijalankan sejak tiga bulan lalu, pegawai dan anggota Pasukan Khas Siasatan Kecurian Kabel menahan tiga individu termasuk seorang wanita.

“Serbuan turut merampas kabel serta peralatan yang digunakan dalam jenayah itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahsmon berkata, anggaran nilai rampasan ialah RM230,000.

“Penahanan suspek dipercayai dapat menyelesaikan 23 kes kehilangan kabel di kawasan Pengerang.

“Mereka direman hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan/Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 11:55 AM