HAIDA Abdullah, 32, melayan tiga anaknya untuk makan waktu pulang sekolah di dapur yang  berkeadaan uzur di Kampung Bukit Gajah, Jalan Industri. FOTO Ramli Ibrahim
HAIDA Abdullah, 32, melayan tiga anaknya untuk makan waktu pulang sekolah di dapur yang berkeadaan uzur di Kampung Bukit Gajah, Jalan Industri. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


KESEMPITAN hidup lima beranak yang memaksa mereka tinggal di bangsal usang di Kampung Bukit Gajah, Jalan Industri, dekat Gua Musang, menerima limpahan rezeki Ramadan, hari ini.

Pelbagai pihak mengunjungi bangsal didiami lima beranak itu untuk menyampaikan sumbangan seperti barangan keperluan supaya mereka tidak dibebani masalah kemiskinan ketika menyempurnakan ibadah puasa.

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Wangi 2, Nor Azila Sidik Ahmad berkata, pihak sekolah terkejut apabila melihat sendiri bangsal usang didiami mereka tanpa dilengkapi kemudahan elektrik dan air.

“Atas dasar itulah kami beramai-ramai datang untuk menghulur sumbangan, tambahan pula hari ini adalah hari pertama menyambut Ramadan.

“Sekurang-kurangnya, hasil sumbangan yang mereka terima dapat meringankan beban hidup dan saya rasa sedih kerana tiga anak pasangan itu masih bersekolah,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, suami isteri bersama tiga anak berumur tujuh hingga 12 tahun, terpaksa tinggal di bangsal usang akibat kemiskinan sejak lebih setahun lalu di Kampung Bukit Gajah, Jalan Industri, di sini.

Lebih menyedihkan, keadaan bangsal dibina di atas tanah kerajaan itu cukup uzur dengan atap bocor serta berdindingkan zink dan kain, selain berlantaikan kayu reput serta tiada bekalan air dan elektrik.

Haida Abdullah 32, berkata, dia terpaksa tinggal di bangsal usang itu selepas tidak mampu menyewa rumah lain kerana pendapatan suami sebagai penoreh getah sekitar RM500 sebulan.

Sementara itu, Pengerusi Jiran Wanita Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Batu Papan, Zanariah Ab Rahim berkata, kes seumpama itu dianggap terpencil berlaku di daerah ini dan sebagai masyarakat setempat, mereka perlu mengambil cakna berhubung perkara itu.

Beliau berkata, nampaknya ramai yang prihatin untuk menghulur bantuan kepada keluarga terbabit dan berharap mereka tabah menghadapi ujian itu.

“Lebih penting, saya mengharapkan ia tidak menjejas persekolahan tiga beradik anak pasangan itu, supaya mereka juga mempunyai peluang untuk berjaya,” katanya.

Berita berkaitan

Tak mampu sewa rumah

Mereka perlu dibantu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 12:32 PM