Siraj Mohd Zaini


POLIS menumpaskan kumpulan penjenayah yang aktif menyamun kedai serbaneka di sekitar Lembah Klang dikenali Geng KTM Duke, kelmarin.

Enam suspek lelaki berusia 21 hingga 28 tahun itu dipercayai terbabit dalam 27 kes samun berkumpulan dan bersenjatakan parang sejak awal tahun ini membabitkan kerugian lebih RM68,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, suspek diberkas anggota Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor di lima lokasi berasingan di sekitar Lembah Klang.

Menurutnya, modus operandi penjenayah adalah dengan bergerak secara berkumpulan pada awal pagi sebelum menyerbu masuk dengan mengacukan parang kepada pekerja mahupun orang awam di dalam kedai berkenaan.

“Penjenayah mengambil wang dan rokok selain turut bertindak ganas mencederakan mangsa sekiranya mereka enggan mengikut arahan.

“Sebanyak 27 kes dipercayai dilakukan kumpulan itu iaitu 18 kes di Selangor dan sembilan kes di Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas pelbagai peralatan termasuk parang, dua motosikal KTM Duke, topi keledar, baju, serta rokok yang dipercayai hasil kegiatan jenayah kumpulan terbabit.

“Semua suspek mempunyai rekod lampau jenayah berkaitan dadah, curi kenderaan serta samun dan ujian air kencing juga mendapati mereka positif dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 serta Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan mereka kini direman selama tujuh hari,” katanya.

Dalam pada itu, Fadzil berkata, polis kini giat memburu tiga lagi kumpulan samun yang juga aktif melakukan jenayah di kedai serbaneka di Lembah Klang.

“Mereka kini sedang diburu polis dan tangkapan akan dilakukan pada bila-bila masa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 2:06 PM
 Fadzil Ahmat (tiga kiri) menunjukkan barangan rampasan kes samun bersenjata kedai 24jam Geng KTM Duke pada sidang media di IPK Selangor. FOTO Roslin Mat Tahir.
Fadzil Ahmat (tiga kiri) menunjukkan barangan rampasan kes samun bersenjata kedai 24jam Geng KTM Duke pada sidang media di IPK Selangor. FOTO Roslin Mat Tahir.
Digital NSTP Subscribe