WARGANEGARA asing ditahan anggota 4 Rejimen Sempadan. FOTO Ihsan ATM.
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


CUBAAN enam lelaki dan dua wanita warga Myanmar menyusup masuk ke negara ini gagal selepas mereka ditahan sepasukan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhampiran Pos 1 Bukit Kayu Hitam, 7.45 pagi tadi.

Panglima 6 Briged, Brigadier Jeneral Datuk Abdul Aziz Ismail berkata, lapan warganegara asing berusia 19 hingga 54 tahun itu ditahan anggota Batalion ke-4 Rejimen Sempadan (4RS) ketika itu sedang menjalankan rondaan.

“Semasa rondaan, pasukan mengesan pergerakan sekumpulan manusia (warganegara asing) dalam hutan dari arah sempadan. Menyedari kehadiran pasukan keselamatan warganegara asing berkenaan cuba melarikan diri.

“Namun dengan tindakan pantas pasukan ronda diketuai Koperal Azhar Saari, lapan warga Myanmar itu dapat ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Aziz berkata, semua warganegara asing berkenaan gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah dan mereka dipercayai masuk ke negara ini untuk mencari kerja.

Katanya, warga asing terbabit kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) sebelum diserahkan ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 2:13 PM