ANAK Kapal KD Todak memeriksa nelayan Vietnam. FOTO Ihsan TLDM
Garret Dawum


SERAMAI 31 nelayan warganegara asing ditahan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan Sarawak di kawasan 60 batu nautika utara Kuching, pagi semalam.

Bot menggunakan nombor pendaftaran KG.95851.TS dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh KD Todak di perairan itu pada 10.28 pagi.

Pegawai Memerintah KD Todak, Leftenan Komander Ahmad Zaki Ismail berkata, bot terbabit dikesan menceroboh perairan negara dipercayai untuk melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram.

“Ketika pemeriksaan, seorang tekong bersama 30 awak-awak warganegara Vietnam berada di dalam bot berkenaan.

“Kesemua nelayan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Zaki berkata, bot dan awak-awak itu diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk tindakan lanjut.

“Meskipun menjalani ibadat puasa sepanjang Ramadan, TLDM khusus di bawah naungan Markas Pemerintahan Armada Timur akan terus melaksanakan rondaan demi memastikan sumber ekonomi negara dilindungi serta kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara,” katanya.

Kesemua nelayan itu disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15 Akta Perikanan 1985.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 2:28 PM