Baharudin kiri) menunjukkan senjata tiruan yang dirampas dalam satu serbuan di kawasan parkir Masjid Al-Ubudiyah, Jalan Joran, Seksyen 19 Jumaat lalu. FOTO Saddam Yusoff.


DUA sahabat ditahan polis berikutan memiliki senjata tiruan dalam satu serbuan di kawasan parkir Masjid Al-Ubudiyah, Jalan Joran, Seksyen 19, Shah Alam, Jumaat lalu.

Mereka ditahan kerana memiliki selaras senapang dan dua pucuk pistol ‘airsoft’ selepas berlatih menembak di kawasan berkenaan pada 11.40 malam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya maklumat daripada orang awam terdapat dua lelaki di kawasan berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki berusia 33 tahun itu didapati melakukan latihan tembakan menggunakan peluru biji manik mensasarkan botol minuman yang disusun pada jarak 30 meter.

“Ketika ditahan, kedua-dua suspek sedang menyimpan barang di dalam bonet sebuah kereta Chevrolet Cruze dan bakul sebuah motosikal Yamana LC 135.

“Hasil pemeriksaan kami menjumpai selaras senapang automatik jenama HK 416 D Cal. 5.56 Mmx45, sepucuk pistol Glock 32c Austria 357, sepucuk pistol 18c Tactical 9X19 Wet 5168 dan beberapa perkakasan senjata termasuk peluru biji manik.

“Senapang dan pistol menyerupai senjata yang sebenar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Shah Alam, hari ini.

Baharudin berkata, kedua-dua suspek masing-masing bekerja sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan di sebuah panggung wayang dan kontraktor elektrik tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

“Mereka memiliki senjata berkenaan sejak empat tahun lalu yang dibeli secara atas talian. Pihak kami percaya ia dibeli dari luar negara.

“Senjata dipercayai dibeli dengan harga antara RM850 hingga RM1,000,” katanya.

Dalam pada itu, Baharudin berkata, siasatan pihaknya juga mendapati kedua-dua suspek memiliki senjata berkenaan atas dasar minat dan menolak pembabitan mereka dalam aktiviti keganasan.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula Sabtu lalu sehingga esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 3:58 PM