Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan. Foto Nurul Shafina Jemenon
Mohamad Hussin


DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) masih menawarkan tapak bazar Ramadan membabitkan 55 lokasi di sekitar ibu kota dengan lebih 1,900 petak lagi masih kosong.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, segala permohonan perlu dilakukan secara dalam talian menerusi laman web https://elesen.dbkl.gov.my/ebazar secara individu.

Menurutnya, peniaga yang mendaftar di bawah persatuan atau pertubuhan perlu membuat bayaran mengikut kadar yang ditetapkan DBKL iaitu RM106 bagi setiap individu.

“Sebanyak 4,038 petak yang ditawarkan di 55 lokasi berkenaan dan sehingga kini, hanya 2,084 petak berjaya diisi.

“Ada 1,954 petak lagi masih kosong yang belum diisi peniaga. DBKL masih dalam usaha memenuhkan baki petak yang masih kosong dalam waktu terdekat.

“DBKL turut menerima permohonan daripada persatuan dan pertubuhan untuk menganjurkan bazar Ramadan di lokasi tradisi dan baru,” katanya di sini, hari ini.

Nor Hisham berkata, kelulusan adalah tertakluk kepada kesesuaian lokasi permohonan dari aspek penganjuran, kebersihan, keselamatan, lalu lintas serta maklum balas daripada masyarakat setempat.

“DBKL turut mempertimbangkan untuk menawarkan kepada pihak persatuan penjaja baki petak kosong untuk diberikan kepada ahli mereka yang terlepas untuk mendaftar sebelum ini.

“Sepanjang Ramadan ini, DBKL mewujudkan satu Sekretariat Bilik Gerakan Bazar Ramadan untuk menyelaraskan aktiviti bazar Ramadan di sekitar ibu kota yang berpusat di Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan DBKL.

“Dari segi keselamatan, lima buah bit kawalan penguatkuasaan disediakan di lokasi bazar Ramadan Jalan Raja untuk tujuan pemantauan serta tindakan.

Menurutnya, kos keseluruhan bagi pelaksanaan Program Bazar Ramadan 2019 di sekitar bandar raya ini adalah sebanyak RM2.5 juta membabitkan aspek pengurusan, kelengkapan logistik, hiasan, hiburan, pengurusan kebersihan, lalu lintas dan keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 5:00 PM