FOTO Hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


PEMILIK akaun Facebook (FB), ‘Sandev Sandev’ dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini, atas tuduhan mengugut mencederakan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Bagaimanapun, Y Kumaresan, 36, dari Pulau Pinang mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norhayati Ibrahim.

Mengikut kertas pertuduhan, dia yang bekerja sebagai kerani itu didakwa menakutkan secara jenayah terhadap Dr Mohd Asri dengan niat untuk menyebabkan cedera parah.

Perbuatan didakwa dilakukan tertuduh di Bilal Udoh, Mukim Chuping di daerah Padang Besar pada 6 petang, 1 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farhan Aliff Ahmad, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Siti Hajar Ahmad.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin selain memberikan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak mengganggu pengadu serta menetapkan sebutan semula kes pada 17 Mei depan.

Pada 2 Mei lalu dilaporkan, Dr Mohd Asri membuat laporan polis kerana menerima ugutan pukul oleh seorang lelaki yang menggunakan nama ‘Sandev Sandev’ di FB.

Pemilik akaun FB itu turut memberikan nombor telefonnya kepada Dr Mohd Asri bagi memudahkan pertemuan antara mereka.

Sehubungan itu, Mufti Perlis berkenaan tampil membuat laporan polis pada hari kejadian dan suspek kemudiannya ditahan polis di kediamannya di Gelugor, Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 6:33 PM