SUASANA bazar Ramadan Jalan Raja yang masih lengang berikutan banyak gerai masih belum beroperasi.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


KUALA LUMPUR: Hari pertama pembukaan bazar di Jalan Raja di sini, semalam mendapat pelbagai reaksi daripada peniaga dan pengguna kerana kemeriahannya tidak dirasai seperti suasana di Lorong Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR).

Bazar yang menyediakan lebih 300 tapak perniagaan itu menyebabkan Jalan Raja di sini, ditutup satu lorong kepada lalu lintas bagi membolehkan perniagaan dijalankan bermula semalam.

Tinjauan mendapati sehingga jam 4 petang masih banyak tapak perniagaan yang kosong kerana peniaga tidak memulakan perniagaan.

Peniaga pakaian, Kamarulzaman Che Hashim, 55, berkata, pemilihan kawasan berkenaan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak bersesuaian kerana agak jauh dengan kemudahan pengangkutan awam.

Menurutnya, penutupan laluan Jalan Raja juga hanya akan menyebabkan kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak.

“Sehingga jam 3 petang, tapak bazar ini masih belum penuh dengan peniaga, malah pelanggan juga tidak ramai yang mengetahui tapak baru ini.

“Saya harap keputusan ini dapat dinilai semula tahun depan kerana Lorong Jalan TAR sudah dikenali setiap kali menjelang Aidilfitri sebagai lokasi beli-belah terkenal ibu kota,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, pekerja swasta Yudahaidil Ramlan, 25, berkata, kesesakan di Jalan Raja hanya berlaku pada waktu puncak namun terkawal dengan kehadiran warden trafik DBKL.

Katanya, pengguna jalan raya mempunyai alternatif laluan lain bagi mengelak kesesakan di Jalan Raya terutamanya ketika waktu pagi dan petang.

“Aliran lalu lintas lancar namun hanya sedikit kesesakan berlaku di kawasan Dataran Merdeka disebabkan bas persiaran berhenti untuk menurunkan pelancong yang mahu merakam gambar kenangan di bangunan bersejarah.

“Dengan adanya warden trafik dan polis trafik, kesesakan laluan keluar dari ibu kota pasti dapat diatasi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 5:30 AM