FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


POLIS Kuantan mengingatkan orang ramai yang ingin ke bazar Ramadan supaya mematuhi peraturan jalan raya dengan tidak meletakkan kenderaan di kawasan yang boleh mengganggu lalu lintas.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, tindakan saman akan diambil sekiranya masih terdapat pemilik kenderaan yang ingkar dengan meninggalkan kenderaan mereka di kawasan yang tidak dibenarkan.

“Saya minta kerjasama orang ramai yang ingin ke bazar Ramadan supaya meletakkan kenderaan di kawasan yang dibenarkan dan tidak halang pengguna jalan raya lain. Sekiranya masih ingkar, anggota polis yang bertugas akan keluarkan saman.

“Kita tidak mahu jalan menjadi sesak pada waktu puncak disebabkan sikap pengguna jalan raya itu sendiri yang mengabaikan undang-undang,” katanya, hari ini.

Mohamad Noor berkata, menyedari pertambahan kenderaan pada bulan Ramadan dan kehadiran orang ramai berbanding hari biasa, pihaknya akan menempatkan anggota rondaan bermotosikal di kawasan tertentu.

Katanya, rondaan cegah jenayah juga akan dipertingkatkan terutama di kawasan menjadi tumpuan ramai seperti di institusi kewangan, premis perniagaan dan kawasan parkir kenderaan.

“Masyarakat yang menyaksikan kejadian jenayah atau mempunyai maklumat segera laporkan kepada kita (polis) supaya tindakan pantas dapat diambil,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang ingin keluar menunaikan solat Tarawih memastikan kediaman mereka sentiasa berkunci dan dalam keadaan selamat supaya tidak menjadi sasaran penjenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 9:28 AM
Digital NSTP Subscribe