Avila Geraldine


PROSES pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan membabitkan seramai 270 pengundi berdaftar yang berlangsung hari ini berjalan lancar di dua pusat pengundian yang dibuka bermula 8 pagi tadi.

Pusat pertama di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan membabitkan seramai 78 pengundi yang terdiri daripada anggota polis, manakala satu lagi di Mes Pegawai Kanan Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan dengan seramai 192 pengundi.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Mohamed Elias Abu Bakar turut meninjau proses pengundian bermula di IPD Sandakan pada 8.30 pagi tadi sebelum beralih ke pusat pengundian di Mes Pegawai Kanan PPM Sandakan.

Ketika ditemui pemberita, Mohamed Elias berkata, pihaknya mensasarkan 70 peratus pengundi awal turun menunaikan tanggungjawab mereka untuk membuang undi pada PRK Parlimen Sandakan ini.

ANGGOTA Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunggu giliran pada hari pembuangan undi awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.186 Sandakan di Mes Pegawai Kanan PPM, Sandakan. FOTO Khairull Azry Bidin

“Sebelum ini, iaitu ketika PRK Rantau, jumlah pengundi awal yang turun mengundi sangat menggalakkan dengan lebih 90 peratus.

“Kita juga berpuas hati dengan aktiviti kempen walaupun tidak dinafikan ada beberapa kes pelanggaran undang-undang pilihan raya seperti mengadakan ceramah tanpa permit dan menindih poster calon lain,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua calon supaya berkempen secara profesional dan mematuhi peraturan yang ditetapkan sepanjang baki kempen sehingga jam 11.59 malam, Jumaat ini.

SPR turut menyiarkan secara langsung proses pengundian awal PRK Parlimen Sandakan melalui laman Facebook rasmi suruhanjaya berkenaan.

Sementara itu, calon DAP, Vivian Wong Shir Yee, Datuk Linda Tsen Thau Lin (calon PBS), Chia Siew Yung (calon Bebas) dan Hamzah Abdullah (calon Bebas) turut kelihatan melawat pusat pengundian awal.

Pengundian biasa bagi PRK berkenaan akan diadakan pada Sabtu ini membabitkan seramai 39,856 pengundi.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Sandakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 10:33 AM