Shahrinnahar Latib
cnews@nstp.com.my


PESARA tentera dari Kuantan kerugian RM10,500 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai kakitangan Telekom dan pegawai polis, Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian berlaku apabila mangsa lelaki berusia 71 tahun menerima panggilan melalui telefon rumah daripada lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Risman Razali.

“Suspek memberitahu mangsa dia adalah kakitangan Telekom dan mendakwa nombor telefon rumah mangsa terbabit dengan kes perjudian dalam talian.

“Mangsa menafikan perkara itu sebelum panggilan itu disambungkan kepada seorang lagi suspek yang menyamar anggota polis, ‘Koperal’ Micheal Lim.

“Hasil pemeriksaan, ‘anggota polis’ itu mendakwa mangsa turut disenaraikan sebagai orang dikehendaki dan memiliki waran tangkap,” katanya hari ini.

Beliau berkata, bagi menyelesaikan kes itu talian telefon berkenaan disambungkan kepada seorang lagi suspek yang menyamar sebagai ‘Inspektor Azmi’.

“’Inspektor Azmi’ memberitahu mangsa perlu membuat bayaran ke dalam akaun mahkamah.

“Pada hari sama mangsa membuat pindahan wang ke dalam akaun yang diberikan suspek.

“Bagaimanapun akaun berkenaan adalah atas nama seorang wanita, bukan milik mahkamah. Mangsa membuat enam kali transaksi berjumlah RM10,500,” katanya.

Mohd Wazir berkata, selepas membuat bayaran itu, ‘Inspektor Azmi’ meminta mangsa merahsiakan kes berkenaan selama tiga hari daripada pengetahuan orang lain.

“Namun pada Sabtu lalu, mangsa memberitahu anak perempuannya kes itu dan pengadu diberitahu dia sudah ditipu dengan sindiket Macau Scam.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini semalam.

“Polis sedang mengesan pemilik nombor akaun digunakan suspek dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 10:39 AM