ORANG ramai tidak melepaskan peluang membeli pelbagai jenis kuih untuk berbuka di Bazar Ramadan, Taman Kerang. FOTO Muhd Asyraf Sawal


SERAMAI 1,953 peniaga bazar Ramadan dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) diminta mematuhi syarat ditetapkan terutama aspek kebersihan dan waktu perniagaan.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MPK, Norkamawati Kamal berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu tegas memantau peniaga, khususnya mereka menjual makanan dan minuman yang beroperasi awal sebelum 3 petang.

Justeru katanya, pegawai penguat kuasa MPK akan melakukan pemantauan untuk memastikan tiada pelanggaran syarat dilakukan peniaga.

“Oleh itu, mereka yang mendapat permit berniaga diminta memastikan peraturan ditetapkan untuk kelancaran operasi sepanjang Ramadan.

“Pihak penganjur bazar Ramadan perlu memastikan semua peniaga yang menjual makanan perlu mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan mempunyai kad pengendali makanan.

“Selain itu, juadah makanan seperti lauk pauk dan kuih muih sentiasa berada di dalam bekas yang bertutup dan lutsinar.

“Semua peniaga perlu mematuhi syarat iaitu mementingkan kebersihan tempat berniaga dan persekitaran serta memakai penutup mulut ketika berniaga,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, Ramadan kali ini MPK menawarkan 1,953 permit gerai jualan bazar Ramadan di 35 lokasi di Kuantan membabitkan bazar Ramadan kendalian MPK sahaja.

“Daripada 35 tapak bazar di lapan lokasi itu, seramai 499 peniaga menjual pelbagai jenis barangan, manakala 27 lokasi lagi (1,454) peniaga menjual makanan, kuih dan air,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 11:33 AM