Keadaan pacuan empat roda yang terbabit kemalangan dengan motosikal. FOTO Ihsan Pembaca
Abnor Hamizam Abd Manap


DUA remaja maut dalam kemalangan di Kilometer 9 Jalan Bahau-Rompin berhampiran Taman Seri Rompin, Jempol hari ini.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, mangsa Muhammad Haziq Husaini Mohd Had, 18, dan Irfan Denial Shaharuddin, 14, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurutnya, dalam kejadian 10.40 pagi itu, Muhammad Haziq menunggang motosikal Yamaha 135 LC yang dibonceng Irfan Denial dari arah Rompin menuju ke Bahau.

“Berdasarkan siasatan awal, motosikal mereka bertembung dengan sebuah pacuan empat roda Nissan Navara dari arah bertentangan.

“Akibat pertembungan itu, penunggang dan pembonceng tercampak ke kanan jalan manakala pacuan empat roda terbabas ke kiri jalan,” katanya hari ini.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia akibat parah di bahagian badan manakala pemandu pacuan empat roda tidak cedera.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jempol untuk bedah siasat.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 5:26 PM