Sesi pendengaran awam RCI mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian bermula hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Hairulazim Mahmud


SESI Pendengaran Awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis disambung semula hari ini.

Prosiding kali ini akan didengar pada 8, 9, 13, 14 dan 15 Mei selepas 19 saksi memberi keterangan sebelum ini berakhir 25 April lalu.

Ia diadakan di Dewan Gemilang Kementerian Dalam Negeri (KDN) Putrajaya yang diubah suai seperti mahkamah.

Bekas Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria adalah Pengerusi RCI dibantu Timbalan Pengerusi yang juga bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai.

Ahli lain ialah bekas Ketua Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Datuk Noorbahri Baharuddin; Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Tan Sri Razali Ismail dan bekas Ketua Penyelidik, Jabatan Peguam Negara, Datuk Junaidah Abdul Rahman.

Selain itu panel RCI ialah bekas Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Nazirah Hussin dan bekas Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Dr Tan Seng Giaw.

Pada 2015, negara dikejutkan dengan penemuan 139 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di puncak Bukit Wang Burma di Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 11:32 AM