Saluran paip di Injap SL106 milik Petronas Sabah Sarawak Gas Pipeline (SSGP) di Long Segaman, bocor pagi tadi. FOTO ihsan bomba
Mohd Roji Kawi


KAKITANGAN Petronas Sabah Sarawak Gas Pipeline (SSGP) cemas seketika apabila saluran paip di Injap SL106 di Long Segaman, Lawas bocor pagi tadi.

Bagaimanapun, kejadian itu dapat dikawal dengan segera oleh sekumpulan kakitangan SSGP yang bertugas dengan menutup injap berhampiran paip gas berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Zaki Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 1.37 pagi.

Beliau berkata, enam anggota dikejarkan ke lokasi dan sebaik tiba mendapati berlaku kebocoran dan api kelihatan pada corong paip gas.

“Tindakan segera diambil oleh lapan petugas SSGP dengan menutup injap berhampiran paip gas berkenaan dan berjaya mengawal kebocoran.

“Bomba turut memantau kebocoran dan memeriksa semua saluran paip berdekatan,” katanya.

Zaki berkata, lokasi kejadian terletak kira-kira sembilan kilometer dari pekan Lawas dan tiada penempatan penduduk berdekatan.

“Selepas pemeriksaan mendapati keadaan selamat sepenuhnya, operasi ditamatkan pada 2.42 pagi,” katanya.

Pada 10 Januari tahun lalu, kebocoran turut berlaku pada saluran paip gas dari Sabah ke Sarawak itu di Long Luping yang terletak antara Limbang dan Lawas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 12:37 PM