BEBERAPA kedai makan masih menjalankan seperti biasa. FOTO Syamsi Suhaimi
BEBERAPA kedai makan masih menjalankan seperti biasa. FOTO Syamsi Suhaimi
Muhamaad Razis Ismail


PENIAGA kedai makan dan restoran di Kelantan masih boleh menjalankan perniagaan seperti biasa sehingga arahan menghentikan sementara operasi untuk memberi laluan kepada solat Tarawih dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, surat arahan yang tular baru-baru ini adalah hanya untuk pihak PBT dan tiada arahan dikeluarkan kepada peniaga.

“Surat arahan itu dikeluarkan kepada PBT dan belum sampai kepada peniaga. Setahu saya PBT pun tidak keluarkan arahan.

“Setakat ini boleh berniaga seperti biasalah, kecuali bila ada arahan daripada PBT.

“Kalau mengikut proses biasa sebelum laksana, PBT kena lihat banyak perkara termasuk undang-undang kecil, peraturan sedia ada,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat EXCO di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas surat arahan yang dikeluarkan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) kepada PBT supaya semua pengusaha kedai makan dan restoran di negeri ini menghentikan sementara operasi dari 8.30 hingga 10 malam sepanjang Ramadan, berkuat kuasa serta-merta.

Arahan itu dikeluarkan melalui surat ditandatangani Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Adnan Hussin.

Menurut surat itu, arahan berkenaan adalah untuk menghormati Ramadan dan menggalakkan umat Islam menunaikan solat sunat Tarawih secara berjemaah di masjid atau surau.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, arahan itu wajar dilihat daripada sudut positif oleh semua pihak dan tidak wajar disensasikan.

“Saya ada dengar pandangan, dan Kerajaan negeri hormati, dengar dan kita terima.

“Arahan ini perlu dilihat dari sudut positif sebagaimana arahan larangan merokok di kedai makan. Perkara ini ada pro dan kontra, itu biasalah, tapi kita cuba lihat daripada sudut positif,” katanya.

Ditanya sama ada arahan itu dibincang di dalam mesyuarat EXCO, Mohd Amar berkata, arahan pentadbiran sudah cukup daripada pejabat SUK.

Berita berkaitan

Tutup kedai makan: Industri pelancongan terkesan

[UPDATE] Peniaga colek merungut

[UPDATE] Tak semua tutup kedai

Tutup kedai makan, pergi solat Tarawih

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 1:33 PM