Antara barangan yang dirampas polis dalam dua serbuan sebelum ini. FOTO Siraj Mohd Zaini
Siraj Mohd Zaini


MESKIPUN sedang menghadapi kes perbicaraan di mahkamah berkaitan kes Macau Scam, lelaki berusia 31 tahun masih tidak serik malah terus aktif mencari dan memperdayakan mangsanya.

Lelaki itu diberkas Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dalam dua serbuan berasingan di Taman Serdang Perdana, Serdang dan Jalan Taman Sri Sentosa, Kuala Lumpur, bermula 3 petang 29 April lalu.

Turut ditahan 15 individu lain yang dipercayai bekerja sebagai penjaga premis dan operator bagi sindiket itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor Asisten Komisioner Fazlisyam Abd Majid berkata, sindiket itu dipercayai baru saja berpindah ke kediaman berkenaan beberapa hari sebelum serbuan.

Menurutnya, dalam serbuan pertama pihaknya menahan lima lelaki serta dua wanita yang kemudiannya membawa kepada penemuan lokasi kedua di sebuah pangsapuri di ibu negara.

“Dalam serbuan kedua, polis menahan tujuh lelaki dan dua wanita dan semua yang ditangkap berusia 16 hingga 31 tahun.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui sembilan telefon bimbit, dua router, dua komputer riba dan 23 skrip menyamar sebagai pegawai bank,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Fazlisyam berkata, modus operandi sindiket adalah dengan menawarkan peluang pekerjaan di laman sosial Facebook dengan tawaran gaji RM2,500 hingga RM3,000 serta pelbagai kemudahan lain kepada mereka yang ingin bekerja sebagai operator khidmat pelanggan.

“Operator ini akan berlatih dengan skrip yang dibekalkan mengenai cara untuk menipu mangsanya melalui panggilan telefon.

“Sindiket ini dipercayai terbabit dengan 11 kes di Selangor membabitkan kerugian lebih RM900,000,” katanya.

Beliau berkata, kegiatan sindiket Macau Scam di negeri itu sangat membimbangkan dengan statistik Januari hingga 30 April lalu 129 kertas siasatan dibuka dengan jumlah kerugian RM7.5 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 2:30 PM