Pemandu lori tersepit selepas kenderaan itu terbabas. FOTO Ihsan Bomba
Raja Noraina Raja Rahim


PEMANDU lori cedera apabila lori 10 tan membawa muatan batu terbabas ke landasan komuter berhampiran Stesen KTM Batang Benar, Nilai hari ini.

Pemandu lori, Muhamad Zaidi Rusli, 31, tersepit dan diselamatkan anggota bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Bakarya Mohd Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan 11.39 pagi sebelum 13 anggota bergegas ke lokasi.

“Lori itu membawa muatan batu keluar dari kawasan kuari untuk ke jalan utama yang terletak di hadapan stesen KTM itu tetapi terbabas memasuki kawasan landasan.

“Anggota mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bakarya berkata, mangsa cedera di kepala dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 2:58 PM