Anggota polis memeriksa kenderaan dalam Ops Didik. FOTO Ihsan PDRM
Muhammad Apendy Issahak


BAHAGIAN Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh menjalankan Ops Didik di Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Damai, Ipoh hari ini dengan mensasarkan pelajar dan remaja yang melanggar undang-undang jalan raya.

Operasi bermula 7 pagi itu bertujuan memberi kesedaran terutama kepada pelajar serta membuat pemeriksaan ke atas pemilik dan kenderaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, dalam Ops Didik itu, 49 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Sebanyak 90 motosikal dan 98 pelajar diperiksa dalam operasi itu dengan 49 saman atas pelbagai kesalahan.

“Antara kesalahan yang dikesan menunggang tanpa lesen, menunggang di bawah umur, ubahsuai kenderaan, tiada cukai jalan dan pelbagai lagi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, operasi dijalankan seorang pegawai bersama enam anggota itu tamat pada 8.15 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 5:50 PM