NAJIB beredar selepas menghadiri perbicaraan kes SRC International di Mahkamah Kuala Lumpur . FOTO Syarafiq Abd Samad
Murni Wan Omar dan Syah Rul Aswari Abdullah


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur diberitahu Datuk Seri Najib Razak tidak pernah diberitahu berhubung sebarang transaksi meragukan dalam akaun bank milik bekas Perdana Menteri itu.

Saksi pendakwaan keempat, Pengurus Bank Negara Malaysia (BNM), Ahmad Farhan Sharifuddin berkata, sepanjang pengetahuannya, Bank Negara atau Ambank tidak pernah berbuat demikian.

Menurutnya, ada peruntukan undang-undang jelas menyatakan bahawa bank tidak perlu memberitahu kepada mana-mana pemilik akaun, sekiranya akaun mereka disiasat oleh institusi kewangan.

“It is amounting to tipping-off (seolah-olah membocorkan maklumat),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada hari ke-15, prosiding kes Najib yang menghadapi tujuh tuduhan berhubung dana SRC International Sdn Bhd (SRC International).

Pada prosiding lalu, Ahmad Farhan memberitahu mahkamah BNM melakukan siasatan terhadap AmBank Group pada 2015 selepas institusi perbankan itu disyaki terbabit dengan kesalahan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2011.

Beliau yang juga pegawai penyiasat bagi siasatan itu berkata, sehubungan itu beliau mengarahkan pegawainya, Azizul Adzani Abdul Ghafar untuk menjalankan penggeledahan di Bangunan Ambank Cawangan Jalan Raja Chulan pada 6 Julai 2015.

Menurutnya, melalui hasil siasatan itu, pihaknya menyita beberapa barang dan dokumen.

Selain itu, katanya, pada 30 Mei 2018, beliau menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk mengemukakan beberapa dokumen dalam simpanan pihaknya.

Terdahulu, pada prosiding hari ini, Ahmad Farhan ketika disoal balas oleh peguam Harvinderjit Singh berkata, Ambank susah didenda kerana gagal menghantar Laporan Transaksi Meragukan (STR) kepada bank pusat mengenai transaksi yang membabitkan akaun Najib.

HARVINDERJIT: Dalam siasatan anda, adakah bank itu didenda?

FARHAN: Ya

HARVINDERJET: Oleh kerana ia berkaitan langsung dengan siasatan anda, apakah pelanggaran itu (oleh cawangan Ambank Raja Chulan di Kuala Lumpur)?

FARHAN: Ia adalah untuk kesalahan gagal mengemukakan STR ke atas akaun Datuk Seri (Najib).

HARVINDERJIT: Bagi urus niaga apakah itu?

FARHAN: Saya tidak dapat menyatakan secara spesifik urus niaga itu.

HARVINDERJIY: Adakah untuk (urus niaga) sebelum atau selepas 2013?

Farhan: Pembukaan hingga penutupan akaun. Semua transaksi (dalam tempoh itu).

Prosiding di hadapan Hakim Nazlan Mohd Ghazali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 6:30 PM