Gambar Hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS mengesahkan ada memfailkan saman perlucuthakan barangan mewah bernilai RM711 juta milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta beberapa individu lain yang didakwa dibeli menggunakan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkara itu disahkan Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN), Bukit Aman, Datuk Khalil Azlan Chik ketika dihubungi, hari ini.

“Saya mengesahkannya. Notis itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Tarikh (pendengaran) akan ditetapkan oleh mahkamah,” katanya ketika dihubungi wartawan Harian Metro.

Sebelum itu, The Edge Market melaporkan dua notis usul dan afidavit sokongan bagi tujuan itu difailkan kerajaan dan polis di Mahkamah Tinggi, semalam.

Portal itu yang memetik sumber berkata, tindakan itu adalah langkah susulan selepas polis menyita pelbagai barangan berharga di kediaman sekitar Bukit Bintang yang dikaitkan dengan Najib, tahun lalu.

Difahamkan, notis pertama difailkan adalah untuk menyita harta di Lembah Klang, wang tunai termasuk pelbagai mata wang asing, barang kemas, beg tangan, jam tangan dan cermin mata hitam bernilai RM680 juta.

Notis kedua adalah bagi menyita barangan bernilai RM31 juta, termasuk 27 kereta mewah, wang tunai serta pelbagai mata wang asing, 29 akaun bank, jam tangan dan beg.

Laporan itu turut memaklumkan Superintendan Foo Wei Min yang mengetuai siasatan kes berkenaan mengesahkan kewujudan afidavit yang menyokong tindakan untuk melucut hak harta terbabit.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga dikatakan membantu pasukan itu dalam operasi serta siasatan kes berkenaan.

Bagaimanapun, Khalil Azlan memberitahu Harian Metro, pegawai kanan yang mengetuai pasukan AMLA adalah beliau sendiri dan bukannya Foo seperti yang dilaporkan portal terbabit.

Portal itu turut melaporkan pendengaran bagi permohonan notis itu kemungkinan akan mengambil masa sehingga sebulan.

Semalam, Peguam Negara, Tommy Thomas mengesahkan Malaysia sudah menerima pemindahan pertama dana yang dikaitkan dengan 1MDB sebanyak AS$57 juta (RM236 juta) dari Amerika Syarikat (AS) yang disita daripada Red Granite Pictures.

Red Granite Pictures adalah syarikat pembikinan filem berpangkalan di AS yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan anak tirinya, Riza Aziz.

Pada 6 Mac lalu, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang ketika itu Ketua Polis Negara, dilaporkan berkata siasatan terhadap barangan dirampas berkaitan kes 1MDB perlu dilengkapkan sebelum atau pada 16 Mei ini.

Katanya, pihaknya mempunyai masa sehingga 16 Mei ini bagi menyimpan barangan yang dirampas dalam beberapa serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman sejak 16 Mei tahun lalu, termasuk di kediaman Najib.

Pada Jun lalu, Pengarah JSJK ketika itu, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh dipetik berkata, jumlah keseluruhan nilai barangan dirampas dari kediaman Najib adalah antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 8:19 PM