X
Lokasi empat awak-awak warga Thailang yang dilaporkan hilang selepas bot mereka dipukul ribut berhampiran Pulau Rebak, Langkawi. Foto Ihsan APMM
Lokasi empat awak-awak warga Thailang yang dilaporkan hilang selepas bot mereka dipukul ribut berhampiran Pulau Rebak, Langkawi. Foto Ihsan APMM
Hamzah Osman


EMPAT awak-awak warga Thailand hilang selepas bot nelayan kelas C dinaiki mereka dipukul ribut berhampiran Pulau Rebak, Langkawi.

Pengarah Maritim Wilayah Utara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd Said berkata, bot itu dilaporkan keluar ke laut pada Khamis minggu lalu sebelum kehilangannya dimaklumkan kepada pihak berkuasa semalam.

"Bot nelayan tempatan yang keluar untuk memukat ikan itu dilaporkan hilang oleh pemiliknya selepas kali terakhir dikesan pada kedudukan 17.2 batu nautika barat Pulau Rebak.

"Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan oleh Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi pada 6 petang semalam," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rozali berkata, SAR yang bermula di lokasi bot dilaporkan hilang itu turut membabitkan bot Petir 81 APMM Kedah dan Perlis serta RH9 mewakili Pasukan Polis Marin (PPM) serta bot nelayan.

"SAR yang ditangguhkan petang semalam, diteruskan 7.30 pagi hari ini dengan pertambahan aset dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

"APMM memandang serius terhadap sebarang kecemasan marin dan sentiasa mengambil langkah yang terbaik dalam usaha mengurangkan kadar kehilangan nyawa di laut," katanya.

Beliau berkata, sebarang aduan dan laporan kecemasan di laut boleh dilaporkan menerusi talian MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis (Langkawi) 04-9662750.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 9:49 PM