Anggota bomba memadamkan kebakaran sebuah rumah teres di Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru, Kuala Lumpur yang dijadikan sebagai pejabat serta asrama pekerja, hari ini. Foto Ihsan JBPM
Anggota bomba memadamkan kebakaran sebuah rumah teres di Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru, Kuala Lumpur yang dijadikan sebagai pejabat serta asrama pekerja, hari ini. Foto Ihsan JBPM
Nurul Hidayah Bahaudin


SEBUAH rumah teres di Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru di Kuala Lumpur yang dijadikan pejabat serta asrama pekerja musnah dalam kebakaran, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, tiga motosikal diletakkan berhampiran rumah berkenaan turut musnah.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu pada 6.19 petang.

“Seramai 23 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul, BBP Bandar Tun Razak dan BBP Sentul kemudiannya dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, kami dapati api sedang marak sebelum kebakaran itu berjaya dikawal kira-kira 20 minit kemudian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, rumah teres itu diubahsuai menjadi pejabat selain dua bilik lagi dijadikan sebagai asrama pekerja.

“Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian ini dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 10:03 PM