LAPORAN portal Harian Metro mengenai kemalangan di Kilometer 63.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara.
Zuliaty Zulkiffli


“DENTUMAN itu sangat kuat, saya nampak kedua-dua mangsa dalam lori kecil itu tidak sedarkan diri dalam keadaan berlumuran darah,” kata saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Aidil, 30-an.

Dalam kejadian 11.50 pagi hari ini, lori perkhidmatan pembersihan yang dinaiki kedua-dua mangsa itu dikatakan merempuh belakang sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 63.2 Lebuhraya Utara Selatan arah Utara, Pendang, hari ini.

Menurut Aidil, ketika itu dia dalam perjalanan ke Alor Setar dan berada tidak jauh di belakang lori yang dinaiki kedua-dua mangsa.

“Apa yang saya tahu, seorang daripada mangsa dalam lori nampak dah ‘nyawa-nyawa ikan’ ketika itu tetapi saya tak tahu bagaimana kejadian itu berlaku sebab dengar bunyi dentuman saja,” katanya ketika ditemui berhampiran kawasan kemalangan itu di Pendang, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila lori yang dipandu Khuszaimy Abdul Jalil, 35, dikatakan berhenti di lorong kecemasan di tempat kejadian untuk memeriksa kenderaannya.

Beliau berkata, pemandu lori itu dipercayai dalam perjalanan dari Sungai Dua, Pulau Pinang menuju ke Jitra dan turut memberikan lampu isyarat kecemasan di tempat kejadian.

“Bagaimanapun, belum sempat keluar dari kenderaannya, tiba-tiba datang sebuah lori yang dinaiki dua mangsa terbabit dari belakang dan melanggar belakang lori yang dinaiki Khuszaimy.

“Akibat daripada itu, Khuszaimy terhantuk pada bahagian depan cermin hadapan lorinya dan tidak sedarkan diri manakala pemandu sebuah lagi lori dan penumpangnya tersepit dalam kenderaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arriz Sham berkata, penumpang lori berkenaan yang dikenali sebagai Zulyana Zakaria, 22, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan kaki, manakala pemandu lori itu, Nurain Ismail, 24, mengalami cedera parah.

Beliau berkata, Nurain kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar dan dirawat di Zon Merah manakala Zulyana pula disahkan meninggal dunia.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik HSB untuk bedah siasat.

“Bagaimanapun, pemandu sebuah lagi lori yang berasal dari Taiping, Perak itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita berkaitan

Penumpang maut pemandu parah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 10:28 PM