Lokasi polis melepaskan lima das tembakan ketika MPV memecut melarikan diri di Jalan Pudu, Kuala Lumpur, hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Lokasi polis melepaskan lima das tembakan ketika MPV memecut melarikan diri di Jalan Pudu, Kuala Lumpur, hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS sedang memburu individu yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) dan melarikan diri ketika cuba diperiksa di Jalan Pudu, Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Fahmy Visunathan Abdullah berkata, kejadian itu berlaku ketika sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur sedang melakukan Op Tapis di lokasi berkenaan pada 5.20 petang.

“Ketika operasi itu dilakukan, anggota polis ternampak sebuah Toyota Vellfire bercermin gelap berhenti di tepi jalan berhampiran sebuah hotel di lokasi berkenaan dalam keadaan enjin masih hidup.

“Anggota polis kemudiannya menghampiri MPV itu untuk melakukan pemeriksaan tetapi sebaik menyedari kehadiran polis, kenderaan itu terus memecut dan hampir melanggar kereta polis yang parkir berhampiran,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Fahmy berkata, anggota polis kemudiannya bertindak mengejar kenderaan itu.

“Ketika dikejar, kenderaan suspek melanggar sebuah kereta Nissan Almera yang berada berhampiran sebuah bank di Jalan Pudu menyebabkan MPV berkenaan terhenti.

“Anggota polis kemudiannya mengarahkan suspek keluar dari kenderaannya tetapi arahan itu tidak diendahkan sebelum ia memecut dan memaksa anggota melepaskan lima das tembakan ke arah MPV terbabit,” katanya.

Beliau berkata, kenderaan itu dilihat menghala ke arah Jalan Loke Yew dan pihaknya belum dapat memastikan jumlah individu yang berada dalam kenderaan terbabit berikutan keadaan cerminnya gelap.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 11:18 PM