KELUARGA miskin, Haida bersama suami dan tiga anaknya yang tinggal di bangsal usang lebih setahun lalu. FOTO Ramli Ibrahim
KELUARGA miskin, Haida bersama suami dan tiga anaknya yang tinggal di bangsal usang lebih setahun lalu. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


RAMADAN ini cukup bermakna buat lima beranak yang tinggal di bangsal usang di Kampung Bukit Gajah, Jalan Industri di Gua Musang sejak setahun lalu, apabila bakal menerima baharu tidak lama lagi.

Auseng Ngoh, 35, bersama isterinya Haida Abdullah, 32, dan tiga anaknya itu akan dipindahkan ke rumah baharu yang dibina pihak Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) di Kampung Tanah Puteh, Gua Musang.

Haida, berkata, rumah di bawah Program Batuan Rumah (PBR) itu sudah siap dibina MAIK, namun dia belum mendapat kepastian bila boleh berpindah.

“Ini kerana, rumah terbabit belum ada kemudahan elektrik dan saluran paip.

“Apapun, saya bersyukur kerana dapat berpindah ke rumah baharu dan saya akan tunggu waktu itu (berpindah) tiba,” katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro, hari ini.

Menceritakan pemberian rumah itu oleh MAIK, Haida berkata, pada mulanya, dia menyangka rombongan MAIK ke bangsal usang didiami keluarganya hanya untuk menghulurkan bantuan keperluan harian.

Sebaliknya, kata Haida, rombongan MAIK itu turut menyerahkan kunci rumah sebagai kediaman baru kepada mereka.

“Saya tidak sangka Ramadan tahun ini juga bermakna dan jika tiada halangan apa-apa, bolehlah saya menyambut Aidilfitri di rumah baharu itu nanti,” katanya.

Portal Harian Metro sebelum ini melaporkan Haida bersama Auseng dan tiga anak berusia tujuh hingga 12 tahun, terpaksa tinggal di bangsal usang itu akibat kemiskinan.

Lebih menyedihkan, keadaan bangsal dibina di atas tanah kerajaan itu cukup uzur dengan atap bocor serta berdindingkan zink dan kain, selain berlantaikan kayu reput serta tiada bekalan air dan elektrik.

Mereka mendiami bangsal itu selepas tidak lagi mampu menyewa rumah berikutan suami Haida, Auseng, hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM500 sebulan hasil upah menoreh getah.

Menurut Haida, dia bersyukur kerana banyak pihak datang untuk menghulurkan pelbagai bantuan kerana bersimpati dengan nasib hidupnya.

Katanya, jika diikut kepada pelbagai masalah yang dihadapi kerana tinggal di bangsal usang itu, dia ingin cepat berpindah ke rumah baharu.

“Apapun, sebelum kami dibenarkan berpindah ke rumah baharu itu, saya juga mohon supaya bangsal usang kami ini dibaiki untuk didiami sementara waktu.

“Lebih penting bagi kami adalah atap yang bocor dan apabila hujan tidak ada tempat untuk berselindung,” katanya.

Berita berkaitan

Alhamdulillah, ramai yang prihatin...

Tak mampu sewa rumah

Mereka perlu dibantu

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 11:26 PM