GAMBAR hiasan
Shahrinnahar Latib


TINDAKAN terburu-buru seorang pekebun sayur memindahkan wang ke akaun individu tidak dikenali kononnya untuk proses pemeriksaan oleh ‘polis’ membawa padah apabila dia kerugian RM72,000 diperdaya sindiket Macau Scam.

Lelaki berusia 60 tahun itu pada mulanya menerima panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang pada 24 April lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita itu mendakwa polis ingin memeriksa sama ada akaun milik mangsa berurusan dengan seorang lelaki yang terbabit dengan kes pengubahan wang haram dan jual beli dadah.

“Akaun bank mangsa dikatakan terbabit dengan seorang penjenayah yang dikenali sebagai ‘Wong Ka Ting’. Namun mangsa menafikan dia mengenali lelaki berkenaan serta tidak terbabit dengan kes jenayah itu.

“Namun mangsa diminta memindahkan wang berjumlah RM72,000 bagi proses pemeriksaan semua akaun banknya sebagai pembuktian dia tidak terbabit dengan jenayah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa membuat pindahan wang berjumlah RM72,000 itu ke dalam satu akaun bank yang diberikan oleh suspek.

“Bagaimanapun selepas memasukkan semua wang berkenaan, mangsa gagal berhubung semula dengan suspek sehingga yakin dia sudah ditipu oleh sindiket itu.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di sini untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mohd Wazir berkata, modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan menyamar sebagai polis dan memperdayakan mangsa kononnya mereka terbabit dengan jenayah serta dalam masa sama perlu membuktikan mangsa tidak terbabit dengan membuat pemindahan wang.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, polis berulang kali mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah terpedaya dengan perangkap Macau Scam dan mereka diingatkan menghubungi mana-mana balai polis terdekat untuk semakan kesahihan jika mendapat panggilan yang mencurigakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 11:30 AM