Laporan awal kes berkaitan Toyota Vellfire bercermin gelap yang terbabit dalam insiden di Jalan Pudu semalam.
Laporan awal kes berkaitan Toyota Vellfire bercermin gelap yang terbabit dalam insiden di Jalan Pudu semalam.
Hasbi Sidek

POLIS sudah mengenal pasti pemilik kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire bercermin gelap yang melarikan diri ketika cuba diperiksa di Jalan Pudu, Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmy Visunathan Abdullah berkata, pihaknya kini giat memburu pemilik kenderaan itu.

“Pemilik kenderaan berkenaan sudah dikenal pasti, namun kami masih mengesan pemiliknya. Identitinya sudah dikenal pasti, bagaimanapun kami tidak dapat untuk mendedahkannya.

“Justeru, siasatan masih dijalankan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan sebuah Toyota Vellfire bercermin gelap dikesan berhenti dengan enjin masih hidup di tepi jalan berhampiran sebuah hotel, dekat Jalan Pudu.

Kejadian kira-kira 5.30 petang itu berlaku ketika Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur melakukan Operasi Tapis (Op Tapis) di lokasi berkenaan.

Bagaimanapun, ketika polis menghampiri MPV terbabit untuk pemeriksaan, tiba-tiba pemandunya memecut laju dan hampir melanggar kereta polis yang diletakkan di lokasi berhampiran.

Polis kemudian mengejar sebelum kenderaan suspek melanggar sebuah kereta Nissan Almera berhampiran sebuah bank di Jalan Pudu, menyebabkan MPV itu berhenti.

Suspek yang berada di dalam kereta diarahkan keluar, namun kenderaan itu sekali lagi memecut hingga memaksa polis melepaskan lima das tembakan ke arah MPV terbabit.

Berita berkaitan

'Buru individu dalam MPV cermin gelap'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 1:06 PM