Gambar Hiasan.


SEORANG Timbalan Pengarah Jabatan bertugas di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ditahan sekitar ibu negara, awal pagi tadi.

Difahamkan lelaki terbabit ditahan kerana disyaki menerima suapan daripada kontraktor bagi meluluskan projek membabitkan agensi berkenaan.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, pihaknya turut merampas wang dianggarkan lebih RM1 juta di kediaman suspek.

“SPRM Putrajaya menahan seorang lelaki yang juga timbalan pengarah sebuah jabatan dalam DBKL yang disyaki menerima suapan daripada kontraktor.

“Suspek ditahan di ibu negara awal pagi tadi. Permohonan reman terhadap suspek dijalankan pagi ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan penahanan lelaki berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 1:57 PM