KARNIVAL Aidilfitri 2019 di Plaza Angsana Johor Bahru Mall yang diberi tema Royo Wong Jhowo atau bermaksud Raya Orang Jawa.
Izlaily Nurul Ain Hussein


SETIAP tahun menjelang Aidilfitri, semua pusat beli-belah berlumba-lumba mengadakan jualan sempena perayaan itu dan kali ini, Angsana Johor Bahru Mall kembali dengan Karnival Aidilfitri 2019 bertemakan etnik Jawa.

Karnival Aidilfitri 2019 yang diberi nama Royo Wong Jhowo atau bermaksud Raya Orang Jawa dipilih bagi mengetengahkan kesenian etnik Jawa di Johor yang ditonjolkan menerusi dekorasi dan persembahan pentas berunsurkan etnik berkenaan.

Pusat beli-belah yang sentiasa menjadi tumpuan orang ramai berbelanja sepanjang Ramadan dan Aidilfitri sejak 1997 khususnya rakyat Johor mahupun Singapura, memulakan karnival sejak 27 Mac lalu menerusi fasa pertama.

Fasa kedua karnival bermula 19 April lalu manakala fasa ketiga dan keempat bermula pada hari pertama Ramadan.

Ketua Pegawai Operasi UDA Angsana Sdn Bhd, Imran Salleh berkata, tahun ini terdapat 500 gerai termasuk 140 gerai yang dibuka di luar bangunan pusat beli-belah, selain lot kedai tetap yang berada dalam premis.


“Mengenai tema yang dipilih tahun ini, kita mencari keunikan yang mahu ditonjolkan dan melihat etnik Jawa kaya dengan kesenian tersendiri, menarik untuk dipamerkan dan kami paparkan menerusi persembahan pentas, dekorasi serta susun atur bertemakan Jawa.

“Artis tempatan akan membuat persembahan bertemakan Jawa, selain pementasan teater percuma berjudul Tetesan Raden Puteri yang bakal menarik perhatian pengunjung,” katanya.

Bagi memudahkan pelanggan membeli-belah, susunan gerai jualan dan lot kedai diselaraskan di mana pengunjung boleh terus ke aras satu bagi mendapatkan pelbagai pilihan perhiasan, pakaian di aras dua dan tiga manakala aras empat dan lima untuk barangan kelengkapan dan hiasan rumah.

Menurut Imran, tahun ini juga adalah Ulang Tahun ke-22 pusat beli-belah itu dan pihaknya menawarkan lebih banyak gerai menjual juadah hari raya seperti kuih raya iaitu 80 gerai berbanding hanya 60 gerai tahun lalu.

“Karnival di Angsana Johor Bahru Mall yang juga karnival Aidilfitri terbesar di Johor Bahru dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam, namun dilanjutkan sehingga jam 12 tengah malam bermula 23 Mei hingga 4 Jun ketika musim cuti sekolah.

“Sepanjang bulan Ramadan, kita tahu umat Islam menunaikan solat Tarawih sebab itu kami melanjutkan masa operasi sehingga 12 tengah malam bagi memberi peluang kepada mereka datang membeli-belah selepas selesai solat.


“Kita turut menyediakan kemudahan surau yang boleh menampung 700 jemaah dalam satu-satu masa bagi mereka yang ingin bertarawih di sini.

“Selain itu, kita menyediakan kaunter khidmat bayaran zakat dan derma di aras dua bagi memudahkan orang ramai melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya.

Imran berkata, pihaknya sedar menerima tambahan pengunjung setiap Ramadan dan tahun ini menyasarkan antara 4 atau 4.5 juta orang sepanjang karnival.

Berikutan itu, katanya, pengurusan mendirikan khemah yang boleh menempatkan 400 orang dalam satu-satu masa untuk umat Islam berteduh bagi berbuka puasa.


KAKITANGAN plaza Angsana Johor Bahru Mall membuat persiapan di pentas utama sempena Karnival Aidilfitri 2019.

“Tidak ketinggalan, terdapat beberapa penyewa baharu iaitu Hero Supermarket di aras satu, Parkson dan Bandoru masing-masing di aras dua dan tiga serta Green Zone (Household Products) yang menjual barangan penyediaan makanan atau katering di aras empat dan lima.

Imran berkata, pihaknya menjanjikan harga promosi yang istimewa ditawarkan semua peniaga yang sangat berbaloi serta mampu bagi pasaran di Johor selain pengunjung boleh mendapatkan sampul duit raya eksklusif Angsana Johor Bahru Mall jika berbelanja di pusat beli-belah terbabit.

“Kita juga akan mengadakan program Bubur Lambuk Perdana sebagai antara pengisian karnival Aidilfitri kali ini,” katanya lagi.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.udamall.my/properties/angsana-johor-bahru-mall atau laman Facebook Angsana Johor Bahru Mall.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 4:22 PM