Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


PEMBAZIRAN makanan di Malaysia kritikal dan ia dijangka meningkat 15 hingga 20 peratus terutama Ramadan ini.

Timbalan Pengarah Program Jaringan Antarabangsa, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Aniadila Kamaruddin berkata, antara penyumbang kepada peningkatan pembaziran makanan adalah di bazar Ramadan.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan kempen MYSaveFood@Ramadan 2019 bagi mengurangkan pembaziran makanan di bazar Ramadan.

“Kempen ini akan dilaksanakan di tujuh negeri membabitkan 16 bazar Ramadan yang diadakan 13 hari bermula 14 hingga 26 Mei ini.

“Pelaksanaan kempen ini membabitkan tiga agensi pelaksana utama iaitu Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Persatuan Pemuda Malaysia (GEMA).

“Menerusi kempen ini yang dilaksanakan sejak 2016, data menunjukkan bazar Ramadan yang besar iaitu antara 200 hingga 300 gerai menyumbang kepada purata 200 kilogram (kg) makanan dibazirkan setiap hari.

“Bazar Ramadan bersaiz sederhana mencatatkan purata pembaziran 80 hingga 100 kg sehari,” katanya di Kuala Lumpur hari ini.

Aniadila berkata, menerusi kajian daripada SW Corp, Malaysia membuang lebih 15,000 metrik tan (mt) makanan setiap hari manakala lebih 3,000 mt terdiri daripada makanan yang masih boleh dimakan.

“Justeru, kempen ini untuk meningkatkan kesedaran awam dan juga peniaga mengenai pembaziran makanan yang berlaku terutama pada bulan puasa.

“Ia bertujuan menyelamatkan makanan yang tidak terjual di bazar dan disalurkan kepada keluarga kurang berkemampuan.

“Melalui kempen ini, beberapa panduan disediakan untuk pembeli dan peniaga bagi mengelak pembaziran makanan berlaku seperti merancang penyediaan makanan, menyediakan makanan yang berkualiti serta selamat.

“Jika ada makanan tidak terjual, mereka boleh sumbangkan kepada wakil kempen ini untuk disalurkan kepada golongan memerlukan,” katanya.

Menurutnya, pembeli juga digalakkan membeli makanan yang perlu saja untuk mengelak pembaziran.

“Sempena Ramadan ini, pembeli digalakkan mengambil saiz makanan yang mampu dihabiskan supaya tidak membazir.

“Pembaziran ini berpunca daripada sikap masyarakat yang tidak menghargai makanan.

“Bagi mengatasi masalah itu, inisiatif kempen ini dapat menerapkan nilai untuk menghargai dan mengurangkan pembaziran makanan.

“Statistik Pertubuhan Makanan dan Pertanian Dunia (FAO) menunjukkan lebih 21,000 orang meninggal dunia setiap hari akibat kebuluran dan kelaparan,” katanya.

Sementara itu, 795 juta orang atau 10 peratus daripada penduduk dunia menghadapi masalah kekurangan zat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 4:29 PM