Aliza Shah (kiri) bersama Farrah Naz dan PeguamDatuk M Reza Hassan pada sesi pendengaran awam RCI hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Hairulazim Mahmud


SURUHANJAYA Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem dan kubur di Wang Kelian, Perlis dimaklumkan bahawa Tan Sri Khalid Abu Bakar ‘terpaksa berbohong’ berkaitan tarikh penemuan kem itu.

Saksi ke-24, Aliza Shah Muhamad Shah berkata, bekas Ketua Polis Negara itu mengakui Polis Diraja Malaysia (PDRM) lebih awal menemui kem transit itu berbanding pihak berkuasa Thailand.

Bagaimanapun katanya, Khalid tidak menyatakan fakta itu malah menafikannya pada sidang media 25 Mei 2015 berikutan permintaan rakan sejawatnya dari Thailand yang mahu mendedahkan perkara itu terlebih dulu.

“Pada 10 Oktober 2015 saya berjumpa dengan Khalid untuk mengajukan soalan mengenai kem terbabit berdasarkan sidang akhbar beliau pada 25 Mei 2015.

“Soalan saya sangat spesifik iaitu betul atau tidak polis sudah mengetahui mengenai kem dan kubur itu pada Januari 2015 iaitu lebih awal daripada Thailand.

“Sebelum itu, saya ada menghantar mesej kepada Khalid melalui WhatsApp tapi tidak dibalas, ketika berjumpa pada 10 Oktober 2015 juga beliau minta saya mematikan alat perakam sebelum jawab soalan dan ADC beliau memastikan saya mematikannya.

“Kemudian beliau kata ‘memang betul kita jumpa kem awal serta kubur tapi ada perjanjian dengan Thailand untuk mereka dedahkan dulu’,” katanya pada prosiding RCI yang dipengerusikan Tun Arifin Zakaria di Putrajaya hari ini.

Alias Shah yang juga bekas wartawan New Straits Times (NST) berkata, Khalid kemudian meminta perbualan itu tidak dilaporkan kerana khuatir rakan sejawatnya dari Thailand marah.

Katanya, Khalid juga memberitahu sebab beliau tidak menjawab mesej WhatsApp kerana bimbang jawapannya itu ditangkap layar dan disebarkan kepada orang lain.

Terdahulu saksi ke-23, Farrah Naz Abdul Karim memberitahu, pihaknya menerima surat dari pejabat Ketua Polis Negara pada 2018 yang mahu NST tidak membuat sebarang berita susulan mengenai penemuan kem berkenaan.

Beliau yang juga Pengarang NSTP-TV berkata, laporan berita disiarkan NST berdasarkan siasatan yang dibuat pasukannya termasuk selepas ‘mendapat lampu hijau’ bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Selepas siri laporan akhir mengenai kem penempatan dan kubur disiarkan pada 20 Disember 2017, saya dipanggil untuk berkongsi maklumat dengan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC),” katanya.

Panel lain prosiding berkenaan ialah Timbalan Pengerusi RCI yang juga bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai.

Ahli lain ialah bekas Ketua Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Datuk Noorbahri Baharuddin; Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Tan Sri Razali Ismail dan bekas Ketua Penyelidik, Jabatan Peguam Negara, Datuk Junaidah Abdul Rahman.

Selain itu panel RCI ialah bekas Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Nazirah Hussin dan bekas Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Dr Tan Seng Giaw.

Pegawai Pengendali ialah Saiful Hazmi Mohd Saad dan Khairul Anuar Abd Halim.

SAIFUL HAZMI: Selepas laporan keluar, pihak EAIC ada panggil pihak NST untuk direkod kenyataan?

ALIZA SHAH: Saya tidak terbabit, hanya Farrah dan Pengarang Eksekutif Muzli Mohd Zin pada 23 Januari 2018 dan EAIC berkata, kes itu ada asas untuk disiasat.

Bagaimanapun dua hari selepas EAIC mengambil keterangan, saya difahamkan EAIC bertemu dengan Ketua Polis Negara ketika itu Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan siasatan dihentikan selepas pertemuan itu.

ARIFIN: Bagaimana anda tahu dihentikan?

ALIZA SHAH: Ada pegawai EAIC maklumkan ketika saya bercakap melalui telefon bahawa kertas siasatan sudah ditutup.

SAIFUL HAZMI: Apa peranan anda lagi selepas itu?

ALIZA SHAH: Saya membantu penyediaan laporan bagi edisi dalam talian.

NORIAN: Selain daripada tanya maklumat sudah dibuka, proses siasatan, ada atau tidak maklumat bertulis yang dihantar secara rambang kepada pihak siasatan berhubung kes Wang Kelian?

ALIZA SHAH: Saya tidak terima apa-apa kenyataan bertulis tapi editor saya ada beberapa maklumat yang diletakkan di kereta beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 5:32 PM