MOHD Zain (kanan) menyampaikan sumbangan wang tunai kepada Fauzi dalam program CSR Alam Flora bersama KEMUDI. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my


“KADANGKALA saya dan tiga anak terpaksa makan nasi kosong bersama budu,” luah penjual sayur, Fauzi Hassan.

Fauzi, 50, hanya mengambil upah menjual sayur dengan pendapatan sekitar RM15 sehari menyebabkan dia terpaksa berjimat-cermat, selain perlu menyara tiga anak berusia antara tujuh hingga 10 tahun.

Lebih menyedihkan, dia juga mengalami kecacatan kedua-dua kaki sejak lahir dan terpaksa mengharapkan belas ihsan jiran serta orang ramai demi meneruskan kelangsungan hidup.

Fauzi berkata, isterinya, Anisa Abdul Rahman, 46, yang berasal dari Indonesia dihantar pulang ke negara asalnya pada awal tahun ini selepas pasport miliknya tamat tempoh sejak 10 tahun lalu.

“Sejak ketiadaan isteri, saya perlu menguruskan semua keperluan anak dengan kudrat yang ada, apatah lagi dengan keadaan kedua-dua kaki yang lembik menyebabkan pergerakan saya terbatas dan tidak dapat berdiri dalam tempoh lama atau berjalan jauh.

“Sejak umat Islam menyambut Ramadan beberapa hari yang lalu, lauk-pauk untuk berbuka puasa kami anak beranak hanya mengharapkan pemberian daripada jiran tetangga,” katanya.

Menurut Fauzi, selain bergantung dengan pendapatan menjual sayur, dia juga menerima wang bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Saya terima RM400 sebulan dan wang itu digunakan untuk perbelanjaan persekolahan anak,” katanya.

Fauzi menceritakan kisah hidupnya itu ketika ditemui wartawan Harian Metro dalam Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Alam Flora bersama Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) di Kampung Lundang, Kota Bharu, semalam.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd, Datuk Mohd Zain Hassan menyampaikan sumbangan keperluan barangan harian seperti beras, minyak, biskut, serta wang tunai bagi meringankan beban keluarga ini.

Turut hadir, Presiden KEMUDI Azran Fitri Abdul Rahim dan Timbalan Presiden KEMUDI Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi.

Sementara itu, Mohd Zain berkata, sumbangan itu sebahagian tanggungjawab pihaknya untuk membantu keluarga yang menghadapi kesusahan hidup.

“Selain memberi sumbangan itu, pada masa sama saya bersama 10 kakitangan Alam Flora turut membersihkan bahagian dalam dan luar rumah ini, kami juga ada membeli barangan lain untuk diletakkan di dalam rumah seperti kerusi dan tempat letak televisyen.

“Saya amat berharap dengan sumbangan yang dihulurkan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban, selain memberi keceriaan kepada mereka sekeluarga menyambut Ramadan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 10:25 PM