BEKALAN minyak masak bersubsidi Malaysia dalam botol dan pek ketika tinjauan di Thailand.
Mohd Jamilul Anbia Md DeninFazrik Kamarudin dan Hasbi Sidek dan Aizat Sharif


PUTRAJAYA: Kerajaan kerugian berpuluh juta ringgit setahun melalui kos subsidi yang ditampung kesan penyelewengan dan penyeludupan minyak masak peket sekilogram ke negara jiran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah itu berdasarkan siasatan membabitkan audit dan naziran dilakukan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Katanya, ketirisan itu dikesan pasukan khas KPDNHEP yang ditugaskan menyiasat isu berkenaan serta mencari punca kebocoran minyak masak subsidi ke negara jiran.

Beliau berkata, pasukan sama turut berperanan menyiasat ketirisan subsidi barangan kawalan lain seperti Gas Petrolium Cecair (LPG), petrol dan gula.

“Sebagai contoh di Kelantan, keperluan minyak masak (peket sekilogram) di sana adalah sekitar 2,724 tan sebulan. Jadi, KPDNHEP memberi lesen kepada pemborong dan pembungkus bagi memenuhi keperluan mencukupi jumlah itu (secara tidak berlebihan).

“Tapi, di Kelantan sekarang, bila dibuat audit dan naziran semula, ada lebihan 500 tan sebulan (daripada jumlah 2,724 tan yang dibenarkan) berlegar dalam pasaran Kelantan.

“Kita yakin lebihan minyak masak ini diseludup dan akibatnya kerajaan hilang (subsidi) RM600,000 sebulan atau RM7.2 juta setahun. Itu baru kes di Kelantan, belum lagi di Kedah, Perlis dan negeri lain,” katanya.

Saifuddin berkata, subsidi minyak masak diuruskan kerajaan berjumlah RM700 juta iaitu 60 sen bagi peket minyak masak sekilogram.

“Namun, wujud trend penurunan (penyeludupan). Jadi, kita jimat dan ada lebihan pada kementerian. Keghairahan penyeludup berkurangan jika perbezaan harga barangan tidak ketara (antara Malaysia dan Thailand),” katanya.

Beliau berkata, jenayah penyeludupan rentas sempadan itu jelas memberi kesan besar kepada kerajaan dan rakyat amnya.

“Kecekapan subsidi untuk sampai kepada rakyat yang benar-benar memerlukan akan ada kecacatan. Pihak KPDNHEP melalui Bahagian Penguatkuasaan akan terus meningkatkan kerjasama dengan agensi lain bagi membendung masalah ini.

“Selain isu penyeludupan rentas sempadan, kita juga harus memahami masalah ini dari aspek cross industry membabitkan penyelewengan kegunaan dalam negara.

“Kita harus mendidik masyarakat bahawa minyak subsidi ini untuk kegunaan isi rumah saja dan bukan untuk perniagaan.

“Sebagai contoh, peniaga kedai makan tidak wajar membeli dan menggunakan minyak masak sekilogram ini untuk tujuan berniaga kerana mereka tidak layak,” katanya.

Katanya, kepincangan itu turut membabitkan penyelewengan berleluasa gas LPG dan petrol subsidi yang kerap digunakan secara salah oleh kilang industri dan sektor lain.

Harian Metro sejak Rabu lalu mendedahkan kegiatan penyeludupan peket minyak masak subsidi sekilogram membabitkan hampir semua bandar utama di selatan Thailand antaranya Dannok, Betong, Yala, Hat Yai, Sadao dan pedalaman negara itu.

Tinjauan wartawan mendapati minyak masak subsidi itu yang dijual pada harga RM2.50 di Malaysia sebaliknya dijual pada harga 30 Bath (RM3.90 ) di Thailand.

Ia jelas memberi keuntungan kepada sindiket berikutan kadar perbezaan harga yang tinggi selain kejatuhan nilai ringgit berbanding mata wang Bath.

Kebanyakan peniaga Thailand ditemui mendakwa memperoleh bekalan secara tetap daripada sindiket yang menghantar minyak masak buatan Malaysia itu ke kedai runcit, pasar mini atau ke pasar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 7:00 AM