Remaja yang ditahan ketika melakukan aksi bahaya malam tadi. FOTO Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli


LAGAK mereka kononnya mahu ke masjid untuk menunaikan solat tarawih namun taktik sekumpulan remaja itu tidak menjadi apabila mereka ditahan polis kerana melakukan aksi bahaya dalam operasi di Jalan Batu 17, Tunjang, Jitra malam tadi.

Dalam operasi 8 malam itu, Skuad Khas dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu mengekori kumpulan motosikal itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Chien Chunng Tsaur berkata, hasil pemantauan dan risikan oleh skuad khas BSPT itu menahan 12 motosikal yang ditunggang 16 remaja lelaki termasuk pembonceng.

Beliau berkata, kumpulan motosikal itu tidak menyedari kehadiran skuad khas BSPT yang membuat pemerhatian di kawasan berkenaan.

“Penunggang motosikal berusia antara 14 hingga 17 tahun itu kononnya keluar untuk menunaikan solat tarawih tetapi menunggang motosikal dengan pelbagai aksi merbahaya serta membuat bising dari ekzos yang diubahsuai,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Chien berkata, pihaknya menghubungi keluarga dan waris remaja itu serta memaklumkan kesalahan yang dilakukan.

Beliau berkata, mereka kemudian dibebaskan dengan jaminan namun lima motosikal disita untuk siasatan lanjut.

“Antara kesalahan lain yang dikesan ialah menunggang motosikal bawah umur, tidak memiliki lesen memandu, tidak memakai topi keledar, ubahsuai ekzos dan lain-lain.

“Mereka disaman dan nasihat daripada pegawai trafik supaya hal ini tidak melakukan kesalahan sama,” katanya.

Dalam pada itu, Chien menasihatkan ibu bapa mengawasi anak mereka supaya tidak terbabit dalam kegiatan lumba haram atau merempit kerana ia boleh mengundang bahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 10:50 AM