Mangsa cedera di muka dan badan akibat disimbah dengan air panas oleh bapanya. FOTO Ihsan PDRM
Shamsul Munir Safini


LELAKI bukan sahaja gagal mendapatkan bahagian wang tuntutan insuran mendiang ibu daripada bapanya, lebih malang, dia juga disimbah air panas oleh lelaki berkenaan dalam kejadian di rumah di Jalan Kaki Bukit Gelugor, Jelutong.

Dalam kejadian 6.30 petang Selasa lalu, mangsa Por Yeow Nam, 35, cedera di bahagian badan dan muka akibat disimbah dengan air panas oleh bapanya melalui pintu jeriji besi rumah.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, berdasarkan keterangan mangsa, sejak dia kecil emaknya membeli insuran perlindungan yang juga simpanan untuk mereka sekeluarga.

“Pada 2005, emak mangsa meninggal dunia dan beberapa tahun selepas itu, insuran berkenaan telah matang dan bapanya membuat proses tuntutan wang insuran berkenaan.

“Selepas itu, bapa lelaki berkenaan mengagihkan kesemua wang itu kepada adik beradiknya kecuali mangsa yang tidak memperoleh bahagiannya,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini mangsa pernah meminta wang itu daripada bapanya, namun diberikan pelbagai alasan.

Zaimani berkata, pada Selasa, mangsa datang ke rumah untuk sekali lagi menuntut bahagian wang insuran miliknya.

“Mangsa mendakwa bahagian wang insurannya berjumlah RM30,000 tidak dibayar seperti yang sepatutnya oleh suspek.

“Suspek tidak membenarkan mangsa masuk ke dalam rumah dan mereka bertengkar di kawasan pintu jeriji besi rumah,” katanya.

Katanya, tidak lama selepas itu, suspek menunjukkan wang RM10 melalui tingkap rumah sebelum mangsa menghampirinya.

“Sebaik berada di situ, mangsa disimbah dengan air panas oleh bapanya dan mengenai bahagian muka dan badannya.

“Mangsa yang menggelupur kesakitan kemudian ke Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Zaimani berkata, suspek berusia 66 tahun berkenaan kemudian ditahan polis di lokasi kejadian semalam sebelum diberikan jaminan polis.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 11:49 AM